Ekspedisi epik buru ‘golden mahseer’ Himalaya

1 hour ago 1

Saya percaya ramai pemancing mengangkat ikan kelah (Tor tambra) sebagai ‘wish list’ teratas kerana kualitinya sebagai gamefish paling elusif. Namun sebenarnya, ada lagi maharaja di hierarki teratas dalam keluarga ikan kelah iaitu golden mahseer.

Tidak dinafikan, golden mahseer merupakan ikan ‘golden dream’ saya sejak sekian lama. Tetapi isunya, spesies kelah terbesar di dunia ini bersemayam jauh di Utara Asia dan hanya menguasai lembangan sungai yang mengalir dari Banjaran Himalaya.

Justeru, sebaik menerima panggilan sahabat lama, Akashah yang mempelawa saya sertai ekspedisi memburu sang Tor putitora di Nepal, terus saya membalas: “Okay… aku join bro,” dengan perasaan yang membuak-buak bersemangat.

Pada 16 April lalu, kembara kami seramai lapan orang dari Kuala Lumpur bermula sebaik menjejakkan kaki di Kathmandu, Nepal.

Kembara bermula

Akashah yang berpengalaman luas mengendalikan trip pancingan ekstrem EBSF Fishing Adventures di Kalimantan dan Papua, Indonesia, sebenarnya baru pertama kali menganjurkan ekspedisi memancing ke Nepal itu.
Kiranya ini recce trip untuk kami sama-sama menilai potensinya.

Lantaran memiliki puncak Everest yang tersohor buat pendaki gunung antarabangsa, ibu negara Nepal itu membuatkan anda terkinja-kinja bagaikan kanak-kanak riang masuk kedai mainan.

Sebabnya, segenap jalan di Kathmandu berderet premis barangan outdoor dan cenderamata, boleh rabak poket jika ikutkan sangat nafsu.

Esok paginya, kami terbang ke Dhangadhi pula selama satu jam. Dari sana, kenderaan pacuan empat roda membawa kami ke Dipayal selama enam jam lagi dengan jalan banjaran yang berliku.

Dipayal terletak di hulu Sungai Seti yang mengalir hasil cairan glasier Himalaya.

Sungai yang terbentang di depan mata kami inilah penyimpan khazanah ‘kelah emas’ yang menggoda hingga kami sanggup berhabis masa dan duit demi menawannya.

Seusai bermalam di hotel, pasukan guide yang diketuai Devraj bersiap awal pagi mengepam tiga buah bot angin dan memunggah barang.

Kami sempat membeli seekor kambing hidup semurah RM250 untuk dikorban dan dipanggang di campsite pada sebelah malam.

Rodeo jeram

Siap semua barang dilapik kanvas dan diikat kemas serta taklimat keselamatan oleh seorang rafting guide paling senior, Kamal Thakuri.

Tangkapan pertama trip yang penulis dapat ini diraikan bersama-sama dengan penuh keceriaan dan harapan untuk mendapatkan spesimen seterusnya.

Bermulalah ranjau sembilan hari menyelusuri sistem Sungai Seti hingga Sungai Karnali yang perlu kami tamatkan perjalanan sejauh hampir 160 kilometer.

Dayung dikayuh dalam aliran sungai di celahan banjaran yang semakin sepi tanpa pendudukan manusia. Jelas nampak ikan dalam air yang jernih.

Sesekali dapat disaksikan sekumpulan burung hering (vulture) bertenggek serta kambing gurun yang lari memacak bukit kerana terkejut dek kehadiran bot merah dan biru kami.

Gerun juga kami dengar cerita Kamal yang mengatakan di sini terdapat harimau belang dan harimau bintang. Kami juga jumpa tapak kaki haiwan itu di campsite ketiga.

Dalam lamunan menikmati panorama, Kamal bertempik di buritan: “Forward! forward”.

Jeram kelihatan bergulung di depan sana. Pendayung digenggam kemas, lalu dikayuh sekuat tenaga sebaik bot menderu masuk kepala jeram.

Cuaca

Gulungan kucah lana buih air yang memutih membuatkan kami bagai menunggang kerbau rodeo, melambung kemudian terhempas bagai ingin ditelan air bergulung.

Terjerit-jerit orang Malaysia yang teruja sakan, seronok bercampur gentar setiap kali jeram demi jeram ditempuhi.

April adalah musim kemarau, ketika ini hujan sudah dua bulan tidak turun.

Suhu siang mencecah 34 darjah Celsius. Pokok-pokok kelihatan perang kehitaman akibat kebakaran hutan (bushfire).

Jadi, jangan sangka iklim Nepal ini sejuk sepanjang masa.

Fahanif bersama ‘trofinya’ menggunakan gewang spoon di Maharudra.

Devraj memaklumkan, pertengahan Jun barulah monsun melanda sehingga September, sekali gus menyebabkan paras air Sungai Seti meningkat berpuluh meter tinggi dan bahaya diharungi.

Kami tiba di lokasi yang dinamakan Tauwa Gaun sebagai campsite pertama. Ketika pasukan guide sibuk memunggah dan memasang khemah, kami bagai sudah tidak sabar bersiap untuk turun mengilat gewang.

Jernih, sunyi, tiada bot dan tiada se­barang aktiviti menangkap ikan oleh orang tempatan.

Namun, tiada seorang pun mendapat sentuhan ikan pada petang itu, walaupun segenap sungai jenuh

kami ‘korek’ dengan beraneka jenis gewang, pelik sungguh.

Hari kedua, selepas sarapan, kami berselerakan untuk pergi casting. Tatkala suria semakin tinggi, barulah ada berita gempar.

Pembakar semangat

Gewang Zerek Fish Trap 30g Roy disambar dalam lata ketika dia casting bersama Dr. Salimi.

Renangan laju ikan digandakan aliran deras tidak mampu ditahan kekunci tegangan (drag) kekilinya.

Dalam kekalutan, Roy menekan ibu jari pada gelendong yang berputar laju, lalu ‘tusss’, tepuk dahi apabila talinya putus.

Suasana kembali sepi. Saya dan Amir Firdaus yang jauh menapak satu kilometer ke hilir masih ‘mangkor’, begitu juga Fahanif serta Azry.

Akhmar dan Akashah pula cuma nampak kelibat lembaga mengekori spoon masing-masing, tetapi ikan pandai buat U-turn.

Sama ada ikan yang cerdik, atau kami masih tercari-cari rentak persembahan gewang atau tidak tahu di mana ia berlegar, kami langsung tiada konklusinya.

Devraj mencadangkan kami supaya bongkar khemah dan pindah segera ke kem seterusnya.

Golden mahseer pertama

Peluang ini kami ambil untuk mengilat gewang sambil bot berhanyut.

Ketika hanyut perlahan di sebuah lubuk bertebing batu tinggi, sesudu Blue Fox Esox 38g yang saya biarkan tenggelam, direnggut sebaik sahaja dikarau naik.

Tatkala ikan menghambur di permukaan, bersoraklah rakan-rakan lain, sedangkan saya berhempas-pulas mengasaknya.

Kawasan lapang, dalam dan tenang memudahkan spesimen 5.6 kilogram itu dijinakkan tanpa rintangan, lalu ia merekodkan golden mahseer sulung trip ini.

Ternyata, sisik dan sirip kuning keemasannya begitu anggun sekali, dan saya sudah boleh menarik nafas lega menjulang ‘trofi’ pertama golden mahseer setelah usia menjangkau separuh abad.

—-

Nantikan cerita lanjut di bahagian kedua pada minggu depan

Read Entire Article
Pertanian | | | |