JOHOR BAHRU – Teka-teki mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akhirnya terjawab selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan berkuat kuasa hari ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di kediaman rasmi beliau, di sini sebentar tadi.
Katanya, perkara itu telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selepas menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pagi tadi.
“Watikah pembubaran DUN Johor Ke-15 telah diperkenankan berkuatkuasa hari ini, selaras Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi. Keputusan ini dibuat dengan niat memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan stabil dan kukuh” ,” katanya.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut meminta kepimpinan parti politik, ahli-ahli, penyokong serta masyarakat pelbagai lapisan menghadapi proses demokrasi ini dengan penuh berhemah.
Terdahulu, pada 16 Mei lalu, Onn Hafiz membuat pengumuman bahawa Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo dengan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Susulan pengumuman itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Konvensyen PH 2026 keesokkannya memberitahu pihaknya juga bersedia berdepan BN bukan hanya di PRN Johor, tetapi juga di Melaka, Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Umum (PRU).
Beliau dilaporkan berkata, PH tidak gentar dengan ugutan mana-mana pihak sebaliknya bersedia memulangkan hak dan mandat kepada rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan mereka.
“Kalau betul mereka rasa dah tiba waktu pilihan raya bermula di Johor, kita akan sambung di Negeri Sembilan dan mungkin, mungkin kita lempar biar rakyat tentukan satu Malaysia.
“Kita dikejutkan dengan keputusan UMNO, Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di semua kerusi (PRN Johor). Hari ini PH ambil keputusan tegas, kita akan bertanding di semua kawasan, saya akan bincang apakah kita sedia lakukan, Selangor, Pulau Pinang, Pahang semua kawasan.
“Kita tak makan ugutan, tidak gentar, penjara sudah, ini pula nak ditakutkan oleh budak-budak, tidak mungkin. No way. Jadi kalau betul sudah penat dengan kerajaan perpaduan, kita kembalikan kepada rakyat bukan sahaja di Johor tetapi seluruh negara, ini semangat reformasi,” katanya.-KOSMO! ONLINE

7 hours ago
5
















![[VIDEO] Pokok buluh kuning, kelapa gading, ciku kegemaran ‘makhluk halus’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/pkok.jpeg)





























