Dua lelaki simpan, edar tong LPG hampir RM600,000 di rumah

13 hours ago 7

MELAKA – Taktik dua lelaki menjadikan kediaman mereka di Telok Mas, dekat sini sebagai stor simpanan dan pengedaran 820 gas petroleum cecair (LPG) bernilai hampir RM600,000 terbongkar selepas premis itu diserbu, malam tadi.

Lelaki terbabit yang berusia 50-an dan 40-an telah ditahan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, kegiatan tersebut berjaya dikesan menerusi aduan orang dan hasil risikan yang dilakukan selama tiga minggu.

Katanya, pemeriksaan di premis pertama menemukan sebanyak 524 tong LPG pelbagai jenama termasuk 191 tong berisi gas yang disimpan di lokasi tidak dilesenkan.

“Turut disita lima motolori dengan had muatan antara satu hingga tujuh tan yang dipercayai digunakan untuk mengalihkan barang kawalan tersebut.

“Nilai sitaan di premis pertama sahaja dianggarkan mencecah RM476,280.60 dan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an mengaku bertanggungjawab terhadap premis berkenaan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, serbuan di premis kedua menemukan 296 tong LPG pelbagai jenama dengan 160 daripadanya berisi gas, selain empat motolori satu tan yang disyaki digunakan untuk aktiviti sama.

“Nilai sitaan di premis kedua dianggarkan RM107,514.00 dan seorang lelaki tempatan berusia lewat 40-an turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan.

“Secara keseluruhan, jumlah rampasan bagi kedua-dua premis dianggarkan sebanyak RM583,794.60,” ujarnya.

Dr. Mohd. Hazimin berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |