DPPUM, PEMABA meterai kerjasama perkukuh pembangunan tenaga kerja serantau

14 hours ago 5

PETALING JAYA – Dewan Perniagaan Permuafakatan Usahasama Malaysia (DPPUM) telah memeterai memorandum persefahaman dengan Persatuan Majikan Buruh Asing Malaysia (PEMABA) untuk memperkukuhkan pembangunan tenaga kerja serantau.

Timbalan Presiden DPPUM,  Ariff Fadli Abd Wahab berkata, melalui kerjasama tersebut, kedua entiti tersebut bakal mencapai kesepakatan penting untuk melaksanakan Program Latihan Buruh Asing komprehensif merangkumi pelbagai sektor kritikal di Malaysia.

Program ini akan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran (upskilling) pekerja asing mahir dari empat negara iaitu di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

“Inisiatif ini dirangka bagi memastikan ekosistem tenaga kerja serantau lebih berdaya saing, berkompetensi global dan selari dengan keperluan industri moden, termasuk teknologi, logistik, kejuruteraan, perkhidmatan dan sektor strategik lain.

“Program TVET juga akan menjadi antara platform kerjasama serantau paling komprehensif bagi menyediakan pekerja mahir bertaraf global untuk pasaran ASEAN,” katanya dalam kenyataan.

Majlis pemeteraian MoU tersebut ditandatangani oleh  Timbalan Presiden DPPUM,  Ariff Fadli Abd Wahab dan Presiden PEMABA, Yacob Gabriel Samson di Riau Indonesia baru-baru ini.

Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, kedua-dua pihak tersebut mengumumkan pelancaran One Stop Centre DPPUM–PEMABA 2026, sebuah hab pembangunan keusahawanan dan tenaga kerja antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pembangunan Keusahawanan Majikan Serantau bagi menjadikan Malaysia pusat rujukan latihan, bimbingan dan pengembangan usahawan ASEAN.

Hab itu akan menyediakan latihan kemahiran TVET Bertaraf Global yang akan memperkemaskan  standard latihan bagi memastikan tenaga kerja asing memenuhi keperluan industri Malaysia.

Ia juga akan mengintegrasi tenaga kerja mahir antarabangsa yang mana akan menghubungkan tenaga kerja dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand kepada peluang pekerjaan berkualiti.

Selain itu, disediakan peluang pekerjaan rentas negara ASEAN yang akan memberi laluan kerjaya yang selamat, sah dan teratur untuk pekerja mahir serta memperkukuhkan perdagangan rentas sempadan dalam kerangka BIMP-EAGA & ASEAN.

Selain itu, Pengarah Hal Ehwal Buruh Asing DPPUM,  Yacob Gabriel menerangkan, pusat sehenti ini bakal memainkan peranan sebagai jambatan menghubungkan usahawan, pemain industri dan tenaga kerja mahir di seluruh ASEAN.

“Pusat sehenti DPPUM–PEMABA akan menjadi pusat penyelarasan utama untuk pembangunan tenaga kerja mahir, bimbingan keusahawanan serta usaha integrasi ekonomi serantau.

“Inisiatif ini direka agar Malaysia terus menjadi hab latihan dan penempatan pekerja mahir ASEAN,” jelasnya.

Selain itu, Ariff menjelaskan, kerjasama DPPUM–PEMABA  ini menandakan era baharu dalam pembangunan tenaga kerja serantau dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat latihan dan pembangunan TVET terbesar di ASEAN.

Inisiatif bersama ini dijangka memberi impak besar kepada ekonomi digital dan industri moden, pembangunan tenaga mahir berstandard global, hubungan dagang Malaysia,Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand serta integrasi ekonomi dalam rangka kerja BIMP-EAGA dan ASEAN. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |