PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pelaksanaan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) merupakan langkah penting bagi membolehkan kerajaan memiliki data lengkap dan sahih mengenai pelarian serta pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berada di negara ini.
KDN dalam kenyataan berkata, Malaysia telah berdepan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad UNHCR sejak berpuluh tahun lalu, namun sehingga kini kerajaan masih tidak mempunyai maklumat yang lengkap mengenai jumlah sebenar, identiti dan latar belakang individu terbabit.
Menurut kenyataan itu, keadaan tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan kerana setiap dasar dan keputusan berkaitan migrasi perlu berpaksikan data yang tepat serta dimiliki oleh kerajaan sendiri.
“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dalam negeri dan mengurus migrasi negara, KDN perlu memastikan setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan berasaskan data yang sahih.
“Atas sebab itu, berpandukan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023), Jabatan Imigresen sedang melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia,” katanya hari ini.
Menurut KDN, proses berkenaan melibatkan pemegang dokumen UNHCR serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.
Katanya, melalui DPP, kerajaan akan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi membolehkan status, keberadaan serta latar belakang individu berkenaan dikenal pasti dengan lebih tepat.
“Data ini amat penting bagi membantu kerajaan menilai implikasi keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.
“Ia juga membolehkan prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah-langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian dan pemegang kad UNHCR diperkemas berdasarkan maklumat yang boleh disahkan,” ujarnya.
KDN turut menegaskan bahawa proses DPP bukanlah satu bentuk pemberian kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.
Sebaliknya, ia merupakan instrumen penting bagi memastikan kerajaan mempunyai kawalan yang lebih berkesan terhadap isu migrasi dan keselamatan negara.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan tetap berpegang kepada prinsip bahawa keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi, namun pada masa sama isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira pertimbangan kemanusiaan di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kita tidak boleh mengurus sesuatu yang tidak kita kenali dan kita tidak boleh menjaga keselamatan negara tanpa mengetahui dengan jelas siapa yang berada di dalam sempadan negara.
“Justeru, pelaksanaan DPP merupakan langkah penting ke arah pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3















![[VIDEO] Cemas zink melayang dalam pusaran angin](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/usaran-angin.jpeg)






























