PETALING JAYA – Aliran trafik di lebuh raya bertol seluruh negara pagi ini dilaporkan masih terkawal dan bergerak lancar meskipun berlaku peningkatan jumlah kenderaan di beberapa laluan susulan musim cuti sekolah serta sambutan Krismas.
Menurut Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), setakat pukul 10.08 pagi tadi, cuaca di kebanyakan kawasan adalah baik, sekali gus membantu kelancaran pergerakan pengguna jalan raya pada hari pertama pengurangan tol sebangak 50 peratus bagi kenderaan persendirian.
Bagaimanapun, trafik dilaporkan meningkat dan bergerak perlahan di beberapa lokasi utama khususnya di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara dari Shah Alam ke Subang.
Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kesesakan turut dikesan selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar, manakala arah selatan melibatkan laluan Hospital Sungai Buloh ke Bukit Lanjan, Sedenak ke Kulai dan Kempas ke Dato’ Onn, Johor.
Aliran trafik perlahan turut dilaporkan di Tambak Johor melibatkan kedua-dua arah dari CIQ Woodlands ke CIQ Sultan Iskandar, selain di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dari jambatan ke CIQ Sultan Abu Bakar serta dari pertengahan jambatan menuju CIQ Tuas.
Sementara itu, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) mencatatkan peningkatan trafik arah timur dari Bukit Rimau ke Hicom dan susur masuk Persimpangan Kewajipan, manakala arah barat dari Kinrara ke susur Puchong Jaya.
Kesesakan turut direkodkan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) melibatkan beberapa seksyen utama di kedua-dua arah, selain Lebuh Raya Elite, Lebuh Raya Cheras-Kajang (Grandsaga), Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) serta Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).
Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Disember bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut Khamis ini.
“Diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
“Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat berikutan pemberian diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Hari Krismas 2025 ini,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
6
![[VIDEO] ‘Beginilah kami di hari akhir persekolahan…’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/SK-Balr.jpeg)






![[VIDEO] Adik Medina selesai jalani pembedahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/medina.jpeg)

![[VIDEO] Treler terbalik, trafik sesak 4km di Seafield](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/lori-terbalik.jpeg)




































