Diserang sekumpulan lelaki mabuk guna ‘forklock’ di kafe

12 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Polis menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan kes merusuh menggunakan senjata berbahaya di sebuah kafe di Taman Beringin di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam, mangsa lelaki tempatan berusia 33 tahun dipukul sekumpulan lelaki menggunakan objek dipercayai ‘forklock’ selain dibaling topi keledar di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Sukarno Mohd. Zahari berkata, kejadian berpunca daripada salah faham apabila anak saudara salah seorang suspek mendakwa ditampar lelaki tidak dikenali sebelum bertindak menyerang mangsa.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika pengadu bersama rakannya yang berada di sebuah kafe ternampak seorang budak lelaki yang mendakwa telah ditampar individu tidak dikenali.

“Kemudian datang sekumpulan lelaki dalam keadaan mabuk ke arah pengadu dan rakan. Salah seorang suspek telah bertanya siapa pukul budak tersebut. Pengadu dan rakan tidak menjawab pertanyaan itu dan masuk ke dalam kafe,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sukarno berkata, semasa berada di dalam kafe, suspek bertindak menumbuk muka pengadu manakala salah seorang suspek yang lain telah menghayun topi keledar ke arah kepala pengadu.

“Pengadu dan rakan telah melarikan diri daripada kafe tersebut dan tidak pasti apa punca kejadian sekumpulan lelaki itu bertindak sedemikian,” ujarnya.

Sukarno berkata, hasil siasatan mendapati kejadian melibatkan kira-kira tujuh hingga lapan individu dari kedua-dua belah pihak.

Menurut beliau, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, kesemua individu yang ditahan di kawasan Jinjang, semalam direman antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |