Dewan Rakyat: Pencemaran sungai perlu ditangani secara bersepadu

2 days ago 9

KUALA LUMPUR – Isu pencemaran air sungai perlu ditangani secara bersepadu dengan pembabitan semua pihak termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), jelas Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, ia penting memandangkan sektor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai ini bukan hanya membabitkan perindustrian, tetapi juga sektor lain.

Beliau yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, ia termasuk sektor perbandaran, penternakan, pertanian serta aktiviti komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang sempurna.

Di samping itu, katanya, sisa daripada pasar basah, gerai makanan, dobi, pusat cucian kereta serta industri kecil dan sederhana (IKS) juga menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.

“Justeru, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi mengawal selia pencemaran air sungai berpunca daripada efluen industri, loji kumbahan, stesen pemindahan sisa pepejal dan kambus tanah serta kelodakan daripada projek yang mempunyai kelulusan Laporan Impak Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Antara tindakan tegas JAS di bawah AKAS 1974 ke atas premis industri termasuk hukuman dan denda sehingga RM10 juta dengan denda minimum tidak boleh kurang RM50,000 dan penjara mandatori tidak melebihi lima tahun,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman sesawang Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN- Permatang Pauh) yang meminta menteri menyatakan tindakan selanjutnya kementerian terhadap syarikat yang berulang kali mencemarkan sungai, tetapi masih bebas beroperasi tanpa tindakan tegas.

Selain itu katanya, JAS turut mengeluarkan notis Perintah Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) AKAS 1974 untuk menyita kawasan operasi premis dan peralatan kelengkapan proses sehingga siasatan selesai atau sehingga pematuhan dan pembaikan dilaksanakan oleh pihak premis serta penggantungan lesen operasi dan perintah larangan beroperasi.

“Pendakwaan di mahkamah juga dilaksanakan sekiranya terdapat bukti kukuh pencemaran air sungai adalah berpunca dari syarikat terbabit,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |