Dewan Rakyat: Hutang isi rumah negara bersamaan 84.3 peratus KDNK

2 days ago 9

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menjelaskan di Dewan Rakyat hari ini, hutang isi rumah negara berjumlah RM1.65 trilion atau bersamaan 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir Mac 2025.

Namun begitu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menjelaskan, nilai aset kewangan isi rumah melebihi jumlah hutang, sekali gus menandakan kedudukan kewangan rakyat secara keseluruhannya masih kukuh.

“Hutang isi rumah harus dilihat bersama dengan aset kewangan isi rumah yang jauh lebih besar.

“Secara agregat, aset kewangan isi rumah kekal melebihi hutang sebanyak 2.1 kali, sekali gus memberikan penampan yang teguh kepada isi rumah,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai nisbah tertinggi kadar hutang kepada KDNK.

Hui Ying

Ketika menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas), Hui Ying berkata kerajaan akan mengoptimum perbelanjaan awam menerusi pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan badan berkanun, selain semakan semula perbelanjaan kerajaan secara menyeluruh sebagai antara langkah kawalan dalam usaha menangani peningkatan paras hutang dan liabiliti.

Antara langkah lain yang diambil termasuk meneruskan konsolidasi fiskal secara beransur-ansur di samping memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan.

“Pinjaman kerajaan hanya untuk membiayai projek dan program di bawah perbelanjaan pembangunan (DE) yang memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.

“Selain itu, menetapkan had pendedahan jaminan kewangan kepada 25 peratus daripada KDNK melalui Akta 850 supaya pendedahan kerajaan kepada jaminan kewangan sentiasa terkawal berdasarkan keupayaan kewangan dan ekonomi semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |