Demi Pajero, wanita diam-diam kahwin dua

14 hours ago 4

JAKARTA – Seorang wanita di Ogan Ilir, wilayah Sumatera Selatan didakwa berkahwin dengan lelaki lain ketika masih bergelar isteri selepas terpengaruh dengan janji manis untuk mendapat hadiah berupa kereta Pajero, lapor laman berita Tribunnews.

Menurut suami sebenar, M Teguh, 37, wanita dikenali sebagai DH, 32, berkahwin lain pada 28 Julai lalu selepas meninggalkannya.

Bagaimanapun, mereka masih bergelar suami isteri yang sah dan DH menghantar surat permohonan cerai selepas dia berkahwin lain.

Teguh berkata, sikap dan penampilan isterinya mula berubah selepas dia aktif di platform TikTok.

Dia sering menasihati isterinya agar membataskan penggunaan aplikasi itu, namun DH tidak mengendahkan permintaan tersebut.

“Saya sudah ingatkan dia agar membataskan penggunaan TikTok, namun dia asyik sahaja melayari media sosial,” ujar Teguh.

Pada Mei 2025, DH dikatakan kerap bertugas di luar daerah dan memberi alasan bekerja di kilang pemprosesan petroleum di Musi Banyuasin.

Jarak dari Ogan Ilir ke Musi Banyuasin adalah sekitar 170 kilometer dengan tempoh perjalanan sehingga empat jam.

Menurut Teguh, dia akhirnya mendapat tahu bahawa DH telah berkahwin lain sebelum dia menerima surat permohonan cerai pada 9 Oktober lalu.

“Dia berkahwin secara diam-diam sebelum menuntut cerai,” katanya.

Menurut maklumat rakan DH, wanita itu dikatakan dijanjikan sebuah Pajero oleh teman lelakinya, namun sehingga kini, dia masih belum menerima ‘hadiah’ tersebut.

Susulan kejadian itu, Teguh membuat laporan polis dan akan membawa perkara itu ke mahkamah bagi mendakwa isterinya bersekedudukan ketika mereka masih terikat dalam perkahwinan yang sah. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |