Dara, Amoi dan Kelat akan berada di Jepun selama 25 tahun

22 hours ago 10

TAIPING – Tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun akan berada di lokasi tersebut selama 25 tahun selari dengan perjanjian yang telah dimeterai pada 2022.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, perjanjian kerjasama antarabangsa itu dipersetujui Zoo Tennoji dengan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili oleh MPT pada 19 Mei dan 6 Oktober 2022.

“Perjanjian ini adalah bagi tempoh 25 tahun. Program seumpama ini telah lama dilaksanakan oleh zoo di seluruh dunia.
“Berdasarkan maklumat semasa daripada pihak pengurusan Zoo Tennoji, ketiga-tiga ekor gajah tersebut berada dalam keadaan baik dan dipantau secara berterusan oleh pakar veterinar serta penjaga haiwan (mahut) yang berpengalaman,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemantauan adalah meliputi aspek kesihatan fizikal, pemakanan, tingkah laku dan persekitaran habitat bagi memastikan tahap kebajikan yang optimum.

Mohamed Akmal berkata, kemudahan habitat yang disediakan merangkumi ruang yang mencukupi, sistem penjagaan harian yang terancang serta program pengayaan bagi merangsang tingkah laku semula jadi haiwan, selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Berdasarkan rekod pemantauan kesihatan terkini daripada Zoo Tennoji, ketiga-tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat menunjukkan peningkatan berat badan yang konsisten.

“Berat badan Kelat naik sebanyak 440 kilogram (kg) iaitu dari 2,360kg kepada 2,800kg), Dara sebanyak 215kg (1,985kg kepada 2,200kg) dan Amoi sebanyak 200kg (1,280kg kepada 1,480kg).

“Perkembangan ini mencerminkan tahap kesihatan, pemakanan dan penjagaan harian haiwan yang baik serta terkawal, sekali gus menunjukkan kebajikan haiwan berada pada tahap tinggi dan mematuhi amalan terbaik pengurusan haiwan liar dalam kurungan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah proaktif dan komitmen terhadap ketelusan, pihak MPT akan menyediakan laporan berkala secara mingguan berhubung keadaan Dara, Amoi dan Kelat berdasarkan maklumat rasmi yang diterima daripada Zoo Tennoji.

“Laporan ini akan dikongsikan kepada pihak berkepentingan serta orang awam bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan sahih.

“Pihak MPT juga akan terus berhubung secara langsung dengan pihak pengurusan Zoo Tennoji dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan haiwan sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Berhubung memorandum yang diterima pihaknya semalam, beliau berkata, pihak MPT akan meneliti secara terperinci setiap perkara yang dikemukakan dalam memorandum tersebut dan akan memberikan maklum balas rasmi dalam masa terdekat selaras dengan prosedur serta peraturan yang sedang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |