DAP salur RM965,000 bantu mangsa letupan paip gas Putra Heights

1 day ago 9

SUBANG JAYA – DAP berjaya mengumpul sebanyak RM965,000 menerusi Tabung Bantuan Bencana dalam tempoh seminggu bagi membantu mangsa insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tabung itu diwujudkan sebagai inisiatif segera untuk mengumpul dana sebelum diagihkan kepada mangsa yang terjejas.

“Dalam masa seminggu, kita berjaya kumpulkan RM965,000 dan hari ini kita mulakan proses agihan bantuan kepada semua mangsa, mengikut dua kategori utama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Tabung Bantuan Bencana Putra Heights hari ini.

Terdahulu, media melaporkan DAP menubuhkan tabung khas itu susulan permintaan orang ramai yang ingin membantu mangsa kebakaran akibat letupan paip gas tersebut.

Anthony Loke menjelaskan, mangsa yang mengalami kerosakan menyeluruh atau kehilangan tempat tinggal sepenuhnya menerima bantuan sebanyak RM5,000, manakala mereka yang mengalami kerosakan separa atau merupakan penyewa menerima RM2,000 setiap seorang.

“Daripada jumlah keseluruhan, seramai 57 pemilik rumah menerima RM5,000 manakala 339 penerima lain menerima RM2,000 seorang. Agihan keseluruhan mencecah RM965,000,” jelasnya.

Menurut beliau, agihan hari ini merupakan langkah permulaan berdasarkan pelan bantuan yang sedang diperincikan bersama pihak kerajaan.

“Kami sengaja tetapkan tempoh kutipan selama seminggu agar bantuan dapat disampaikan segera tanpa sebarang kelewatan.

“Kutip seminggu, terus agih. Hari ini kita buktikan bantuan boleh sampai kepada mangsa dengan cepat,” katanya.

Anthony Loke turut memaklumkan bahawa kutipan tabung tersebut ditutup secara rasmi hari ini dan tiada lagi sumbangan baharu akan diterima.

Bagaimanapun, beliau berkata individu atau pihak yang masih ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian secara terus kepada mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |