Culture Wars tiada masalah patuhi garis panduan konsert Malaysia

1 month ago 20

KUALA LUMPUR – Band dari Amerika Syarikat, Culture Wars akui tiada masalah untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan Malaysia terhadap artis antarabangsa yang membuat konsert di sini.

Menurut vokalisnya, Alex Dugan, mereka akur dengan peraturan tersebut demi menghormati Malaysia sebagai tuan rumah.

“Kami sering membuat persembahan di serata dunia dan sentiasa menghargai setiap peluang yang diberikan.

“Kami sedar sini bukan rumah kami. Bila masuk rumah orang, kami kenalah ikut syarat yang ditetapkan. Lagipun kami sekadar ingin menghiburkan peminat,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama media tempatan di sebuah hotel, semalam.

Kehadiran kumpulan yang turut dianggotai Caleb Contreras, Dillon Randolph, David Grayson dan Josh Stirm itu adalah untuk membuat persembahan pembukaan Konsert Siri Jelajah Maroon 5 Asia 2025 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, malam ini.

“Ini adalah kunjungan kali kedua kami ke Malaysia selepas muncul sebagai artis pembuka tirai untuk konsert LANY tahun lalu.

“Persembahan tahun lalu amat menakjubkan dan sambutan yang diberikan oleh peminat di sini sangat luar biasa. Masih segar dalam ingatan kami momen-momen dalam persembahan tahun lalu. Kami sempat menyanyikan lagu ‘selamat hari jadi’ kepada peminat.

“Kami tak sabar untuk buat persembahan yang lebih hebat dan bertenaga,” katanya yang akan menyampai lapan lagu nanti.

Terdahulu, sebelum ini kumpulan pop rock, The 1975 pernah mencetuskan kontroversi dengan melanggar etika peraturan konsert di Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Julai 2023.

Vokalisnya, Matty Healy melanggar garis panduan dengan memperlekehkan undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) serta bercium dengan seorang anggota kumpulannya yang juga seorang lelaki.  – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |