CIMA dilantik ALTI YP untuk pembangunan bakat perakaunan bumiputera

15 hours ago 4

PETALING JAYA – Yayasan Peneraju (YP) dan The Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) telah melancarkan AICPA & CIMA Malaysia sebagai Institusi Pembelajaran dan Latihan Diluluskan (Approved Learning and Training Institution) (ALTI) YP.

CIMA bersama American Institute of CPAs (AICPA), membentuk Association of International Certified Professional Accountants, iaitu peneraju global dalam bidang perakaunan awam dan pengurusan.

Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani berkata, pelantikan  CIMA secara rasmi sebagai ALTI berkuat kuasa September 2025 menunjukkan komitmen berterusan YP untuk memperluas akses kepada laluan pensijilan profesional bertaraf global menerusi skim pembiayaan baharu tersebut.

Setakat ini, lebih daripada 9,000 bakat Bumiputera telah mendapat manfaat daripada program perakaunan profesional di bawah YP.

“Skim pembiayaan baharu YP memperkasa bakat bumiputera untuk mengambil peranan lebih besar dalam pembangunan profesional mereka sendiri.

“Dengan beralih kepada struktur berasaskan pinjaman, para penerima pinjaman kini mempunyai fleksibiliti untuk memilih penyedia pembelajaran atau ALTI pilihan masing-masing.

“Menjelang tahun 2026, kami menyasarkan untuk melatih 2,000 akauntan bertauliah, sebahagian daripada aspirasi lebih luas untuk melahirkan 5,000 akauntan bertauliah setiap tahun menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan.

Ibrahim menjelaskan, dengan pelantikan CIMA menjadi ALTI rasmi YP, pihaknya yakin bahawa kerjasama ini akan membantu merealisasikan aspirasi
tersebut serta melahirkan profesional bumiputera yang berdaya saing dan mampu menerajui pentas global.

Tambah beliau, dengan pelantikan ini, sebahagian besar program profesional CIMA kini layak di bawah Skim Pembiayaan Yayasan Peneraju.

Antara program yang ditawarkan termasuk CGMA® Finance Leadership Programme (FLP) Skills Plus, CGMA® Finance Leadership Programme (FLP) Skills
Core, CFO Programme, Senior Executive Programme (SEP) serta CIMA–MIA Senior Leaders Programme.

Program-program ini direka bagi membekalkan peserta dengan keupayaan
lanjutan dalam perakaunan pengurusan dan kepimpinan, sekali gus menyokong perjalanan mereka ke arah memperoleh pengiktirafan Chartered Global Management Accountant (CGMA).

“Selaras dengan komitmen ini, kami juga berbesar hati mengumumkan kohort pertama bagi inisiatif CGMA Bumiputera Career Accelerator (BCA) dan Bumiputera Leadership Growth Accelerator (BLGA), dengan penyertaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terkemuka.

Program-program ini direka khas untuk menyokong graduan serta profesional bumiputera berpotensi tinggi dalam mempercepat kemajuan kerjaya mereka melalui kelayakan CGMA,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |