Chegubard didenda RM5,000, bersalah atas penerbitan hasutan

12 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut, dua tahun lalu.

Hakim Rasidah Roslee menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 20 bulan, sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Chegubard memohon supaya anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara atas alasan tertuduh adalah pesalah kali pertama.

Beliau berkata, anak guamnya turut memberi kerjasama baik sepanjang kes berlangsung selama dua tahun selain dilihat berperanan sebagai ‘whistle blower’ kepada kes-kes berprofil tinggi yang menggemparkan negara yang membawa kepada siasatan pihak berkuasa.

“Kami memohon mahkamah mengambil kira anak guam kami sebagai aktivis politik dan ahli sebuah parti baharu, Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang baharu diterima sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Chegubard dijangka akan bertanding sebagai calon mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak lama lagi.

“Oleh itu, kami memohon hukuman denda diberikan dan jumlah denda adalah di bawah RM2,000 bagi membolehkan anak guam kami bertanding pada PRN,” kata Muhammad Rafique dalam rayuannya.

Sementara itu, dalam hujahan pemberatan, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman berkata, tertuduh bukanlah pesalah muda malah mempunyai pengetahuan yang dalam mengenai undang-undang.

“Oleh kerana kesalahan dibuat pada usia 46 tahun, sepatutnya pada usia itu tertuduh sudah menunjukkan kematangan untuk hidup secara harmoni dalam negara.

“Tertuduh juga mempunyai pengetahuan tentang undang-undang, tetapi tetap memilih untuk membuat hantaran yang berbentuk menghasut. Denda semata-mata tidak memadai dalam kes ini,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di media sosial kira-kira pukul 6.30 petang, 26 April lalu.

Dalam hantaran itu, Chegubard mengaitkan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua individu didakwa taikun judi dengan projek kasino di Forest City.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman dan dihadiri peguam pemerhati dari Majlis Peguam Malaysia, Cheong Wen Yie.

Pada Mac lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Chegubard bagi mengembalikan semula perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pihak pendakwaan mendedahkan kenyataan seorang saksi kepadanya untuk digunakan dalam pembelaannya dalam kes hasutan.

Tahun lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan Chegubard supaya kenyataan berkenaan didedahkan.

Bagaimanapun, pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh pihak pendakwaan sebelum beliau memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |