TRAGEDI pembunuhan melibatkan pasangan, ahli keluarga atau individu saling mengenali sering mengundang persoalan besar dalam kalangan masyarakat.
Sukar dipercayai apabila hubungan dibina atas dasar cinta dan kasih sayang, berakhir dengan keganasan meragut nyawa.
Daripada seseorang yang dilihat normal secara luaran, berubah menjadi pelaku jenayah yang sangat kejam.
Wartawan Kosmo! Ahad, Siti A’isyah Sukaimi menemu bual Pensyarah Kanan & Ketua Program Kriminologi, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azahah Abu Hassan Shaari mengupas isu ini.
KOSMO! AHAD: Bagaimana seseorang boleh tergamak membunuh atau mencederakan orang yang dikenalinya, malah rapat dengannya?
AZAHAH: Dalam bidang kriminologi dan psikologi forensik, pembunuhan orang dikenal bukan berlaku secara tiba-tiba. Tindakan bunuh ekstrem ini bermula dengan kitaran. Ada empat faktor mengapa ia terjadi.
Faktor pertama, emosi meluak-luak, overkill tikam banyak kali.
Dia ada perasaan seperti cemburu, dendam, ataupun rasa dikhianati. Sebab itulah overkill orang sebagai contoh, belon ditiup dan semakin besar perlu hanya satu jarum untuk pecahkan. Itulah analogi jika pembunuhan berlaku dalam kalangan orang dikenali.
Faktor kedua emotional dysregulation (kesukaran mengawal emosi). Apabila ada perasaan marah, bahagian otak yang mengawal logik tidak berfungsi disebabkan perasaan panas baran. Mungkin ada trauma tak selesai atau masalah kemurungan dan paranoia.
Ketiga ialah nature of the relationship (corak hubungan), misalnya hubungan toksik pemangsa rasa mangsa itu hak miliknya, barang kepunyaannya dan bukan sebagai individu.
Apabila mangsa mahu meninggalkan hubungan tersebut, pelaku mungkin mengugut atau bertindak ganas kerana tidak dapat menerima penolakan.
Faktor akhir ialah tekanan hidup, termasuk tekanan ekonomi, pengangguran atau masalah kehidupan lain. Ia boleh jadi faktor pencetus.
Kesimpulannya, pembunuhan terhadap orang dikenali berdasarkan kajian jarang berlaku secara tiba-tiba. Ada gabungan personaliti pelaku, hubungan toksik, tekanan, atau ada sesuatu yang menjadi pencetus.
Adakah tindakan begitu kejam ini menunjukkan pelaku hilang kawalan emosi atau mengalami kemarahan melampau?
CEMBURU bila melihat orang disayangi bersama orang lain boleh menyebabkan kemurungan dan tindakan di luar kawalan boleh terjadi termasuk mendatangkan kecederaan dan kehilangan nyawa. – GAMBAR JANAAN AIYa, kedua-dua faktor itu sangat berkait rapat. Dalam psikologi forensik, kemarahan melampau dan hilang kawalan emosi umpama ‘suis utama’ yang mana gabungan dua faktor boleh menjadikan seseorang itu melakukan jenayah kejam.
Dalam psikologi, ada tiga fenomena kita perlu tahu berkenaan kemarahan melampau dan hilang kawalan emosi.
Pertama ialah emotional hijack. Dalam keadaan ini, bahagian otak yang mengawal pemikiran rasional dan logik tidak lagi berfungsi dengan baik.
Akibatnya, individu hilang pertimbangan dan tidak lagi memikirkan kesan terhadap tindakannya. Bila individu berdepan kemarahan melampau dengan hilang kawalan emosi, otaknya seolah-olah dirampas.
Bahagian otak prefrontal cortex yang mengawal emosi, rasional dan logik tidak berfungsi. Dia akan hilang pertimbangan, dah tak fikir, ‘kalau buat macam ni, kena hukum gantung, kena tangkap’. Kita panggil sebagai amygdala hijack.
Keduanya tunnel vision. Bila marah, emosi melampau sangat, sudah tidak nampak apa, hanya nampak satu. Maknanya masa pelaku dalam ‘terowong’ yang jalannya sangat sempit, gelap hanya nampak mangsa. Jadi buat sesuatu bila mahu hilangkan kemarahan.
Seterusnya didorong dengan crime of passion. Ia berbeza dengan pembunuhan bersiri yang biasanya strategik disebabkan duit.
Tapi crime of passion ini biasanya berselerak, meninggalkan kesan dan bertindak kerana ada satu pencetus.
Bagaimanapun, kita tak boleh cakap hilang kawalan emosi atau kemarahan merampau ini sebagai faktor dan dijadikan alasan pelaku daripada terlepas undang-undang.
Semasa melakukan pembunuhan, adakah pelaku sedar terhadap tindakannya?
Semasa seseorang bertindak begitu, ‘suis’ empati terpadam dan dalam fenomena psikologi dipanggil temporary empathy shutdown.
Mereka ini adalah manusia yang dulunya ada rasa sayang pada pasangan. Ketika konflik itu sampai ke tahap ekstrem, otak pula menafikan nilai kemanusiaan.
Masa itu tidak nampak mangsa itu sebagai isteri, pasangan atau ibu kepada anak-anaknya sebab suis empati sudah tak ada.
Ketika itu pelaku nampak mangsa sebagai musuh yang mengancam ego, buat dia sakit hati dan menjadi objek yang perlu dimusnahkan.
Suis empatinya terpadam sementara. Tetapi ada fasa apabila suis empati itu menyala kembali.
Sebab itu ada juga kes, selepas bunuh pasangan, pelaku bunuh diri sendiri, cederakan diri atau cuba melarikan diri, di mahkamah pula menangis. Empati datang balik.
Ini berbeza dengan psikopat yang mana empati atau kasih sayang tidak ada langsung. Dia dilahirkan tak ada perasaan simpati, tiada emosi dan tak ada perasaan.
Adakah jenayah ganas atau pembunuhan kejam seperti ini turut dikaitkan dengan masalah kesihatan mental?
Soalan ini perlu dijawab dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan stigma terhadap individu yang mengalami masalah kesihatan mental.
Saya sering ingatkan kepada pelajar saya dan masyarakat bahawa, tidak semua pembunuh ada masalah sakit mental dan majoriti besar yang ada masalah mental bukanlah pembunuh.
Kita kena tahu kes-kes keganasan melampau pada pasangan ini, sebahagian daripada masalah kesihatan mental sama ada didiagnosis, dirawat atau pun tidak. Ada beberapa masalah kesihatan mental kita boleh tengok.
Pertama, masalah delusional atau psikosis. Ada diagnosis klinikal dipanggil delusional jealousy atau syndrome Othello. Pelaku berimaginasi benda yang tidak terjadi. Misalnya, pasangan sedang membaca mesej dan tersenyum, tapi dalam hati sangsi tengah menghantar mesej kepada seseorang.
Kedua, personality disorder (gangguan personaliti). Pelaku takut cinta ditolak atau ditinggalkan. Jadi bila berpisah, respons adalah keganasan ekstrem untuk menghalang mangsa daripada pergi.
Ketiga, ada juga substance-induced psychosis (psikosis akibat penyalahgunaan bahan), mungkin pengambilan bahan terlarang. Keempat pula severe depression (kemurungan) dan ini banyak faktor kita kena hati-hati.
Paling penting, sekiranya ada keluarga, kawan-kawan tunjukkan tanda cemburu yang tak masuk akal, bercakap sendirian atau ada severe depression, jangan anggap remeh. Bantu dan dapatkan rawatan untuk mengelakkannya menjadi lebih teruk.
Adakah cinta ditolak, cemburu atau konflik hubungan menjadi pencetus kepada tindakan ganas?
Cemburu buta, cinta ditolak dan konflik hubungan ini adalah tiga serangkai. Apabila digabungkan, ia faktor mendorong kepada kes pembunuhan wanita. Dalam kajian kita panggil femicide iaitu mangsa kebanyakan wanita.
Dalam kes keganasan rumah tangga, memang ada berlaku dalam kalangan lelaki, tapi majoriti mangsa masih wanita.
Kenapa emosi ini boleh bertukar jadi ganas? Kalau kita tengok cinta ditolak, ia berkaitan ego. Sesetengah lelaki yang ada emosi tidak stabil, perkataan ‘tak’ itu, dia tak boleh terima. Dia lihat rejection (penolakan) sebagai keputusan peribadi yang hina mereka, mencabar ego kelakian.
Cemburu buta pula seperti coercive control (kawalan secara paksaan), possessiveness atau alat kawalan. Kita selalu cakap cemburu tanda sayang, tapi dalam kes keganasan, cemburu adalah pathological iaitu satu keadaan negatif. Pelaku rasa wanita itu seperti harta benda,
hak milik mereka.
Seterusnya, fasa perpisahan waktu paling bahaya bagi wanita. Banyak kajian mengatakan, bila wanita dalam hubungan toksik buat keputusan meninggalkan pasangan, lelaki akan rasa tercabar. Dia rasa, ‘kalau tidak boleh memiliki wanita itu, orang lain pun tidak boleh’. Ini satu daripada kes bahaya.
Kita harus sedar, pencetus ini tidak juga boleh ditukar menjadi pembunuhan kejam sekiranya lelaki ada emosi yang matang, hormat hak wanita dan tahu menguruskan kemarahan.
Sejauh mana tekanan hidup, masalah kewangan atau tekanan di tempat kerja boleh menyumbang kepada tingkah laku agresif?
Tekanan hidup, masalah kewangan, tekanan pekerjaan boleh jadi antara penyumbang terbesar. Faktor persekitaran boleh jadi tekanan luar meruntuhkan benteng kesabaran.
Apabila seseorang ada tanggungjawab, keperluan untuk menyara keluarga, nak hidup senang, tapi pada masa sama perbelanjaan hidup meningkat, hutang kad kredit pula banyak.
Mereka akan rasa kecewa sebab tak dapat memenuhi keperluan. Kekecewaan kalau tak diuruskan akan berkumpul menjadi tekanan. Dia nak hidup tenang, nak sara keluarga, tetapi banyak tekanan luar.
Kedua, ego depression. Setiap manusia ada toleransi terhad. Orang kata ‘sabar’, tetapi setakat mana boleh bersabar. Di tempat kerja, ada tekanan melampau, tiap hari orang telefon minta hutang, sampai satu tahap sudah tidak boleh tahan.
Bila ini berlaku, akan hilang sifat sabar, hilang keupayaan bertolak ansur, benda kecil pun boleh jadi besar dan ‘meletup’.
Kemudian, displaced aggression (peralihan kemarahan) yang mana emosi negatif dialihkan isteri atau anak sebab mereka adalah sasaran
selamat. Takkan nak marah bos (jika masalah di pejabat), nanti kena pecat.
Marah dialihkan atau gantikan sama ada kepada pasangan atau anak-anak.
Tekanan kewangan, persekitaran dan kerjaya bukan penentu atau faktor betul-betul boleh untuk melakukan jenayah, namun boleh jadi faktor penggalak sangat bahaya.
Bolehkah seseorang yang kelihatan normal dan berfungsi seperti biasa, tiba-tiba berubah melakukan tindakan ganas sedemikian?
ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang wanita berusia 41 tahun yang mati dibunuh dipercayai akibat cemburu di Flat Sri Murni, Butterworth, Pulau Pinang pada 7 Februari lalu.Ada kes seseorangnampak baik, penyayang, tetapi kenapa tiba-tiba berlaku kejadian buruk? Kita tak tahu di sebalik pintu yang tertutup.
Dalam psikologi forensik, kita kena tahu high functioning personality atau sindrom dua muka sebab narsisistik ini, boleh meletakkan diri imej sangat baik di depan orang, tapi di sebalik pintu tertutup, hanya orang rapat dan kenal sahaja tahu realitinya.
Banyak dah red flag (tanda amaran awal) di rumah, cuma apa berlaku di rumah, kita tak tahu, dia sembunyikan. Kadangkala mangsa tahu, tapi takut nak berkongsi.
Ada juga seorang lelaki atau bapa penyabar atau waras, tapi tiba-tiba ada tekanan persekitaran, boleh jadi tipping point (titik kemuncak) yang mana tekanan datang secara tiba-tiba dan dia jad hilang kawalan diri.
Tanda awal atau corak tingkah laku yang boleh dikenal pasti sebelum seseorang bertindak melakukan pembunuhan atau serangan ganas?
Lazimnya terdapat beberapa tanda amaran awal (red flags) boleh dikesan sebelum sesuatu tragedi berlaku. Pertama, escalation of threats (peningkatan ancaman). Contoh maki hamun, daripada perkataan kepada fizikal seperti campak barang.
Kedua, coercive control atau kawalan melampau. Misalnya, sekat mangsa daripada bercakap di telefon untuk mendapatkan sokongan sosial, tidak beri akses telefon dan sebagainya. Tanda ketiga, obsesi terhadap senjata, minat kepada pisau atau pistol.
Yang terakhir kita terlepas pandang apabila sampai satu tahap, ada beberapa kes pembunuhan, pelaku dalam fasa tenang tidak ada apa-apa berlaku. Tetapi sebenarnya dalam pemikirannya sedang merancang sesuatu. Seterusnya, sudah tentu penggunaan bahan terlarang.
Adakah terdapat rawatan atau intervensi khusus bagi individu yang menghadapi masalah mengawal kemarahan atau emosi melampau?
Kemarahan bukan satu masalah yang tak boleh ubah. Ia boleh dirawat dan diuruskan dengan betul. Intervensi khusus di Malaysia dipanggil cognitive behavioral therapy (CBT).
Banyak kajian membuktikan ia berkesan kepada individu untuk urus kemarahan, kawal fikiran, emosi dengan tindakan. Ia ubah pemikiran negatif kepada positif.
Selain itu, anger management (pengurusan kemarahan) yang mengajar individu kenal pasti tanda apabila mula hendak marah.
Mereka diajar untuk bertenang sekejap dan teknik bernafas. Bagi kes yang lebih serius, rawatan mungkin turut melibatkan ubat-ubatan dipreskripsikan oleh doktor pakar.

7 hours ago
3










![[VIDEO] Kedutaan Itali mohon maaf, remaja biadab dalam tren di Thailand](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-25-at-21.49.25.jpeg)






































