JAGUH berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terus mengekalkan reputasi antara pelumba terbaik apabila kini menduduki ranking ketiga dunia dalam acara pecut lelaki.
Berdasarkan kemas kini terbaharu dikeluarkan Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), pelumba berusia 30 tahun itu berada di tangga ketiga dengan pungutan 5,174 mata di belakang wakil Columbia.
Begitupun, pelumba dari Johor itu mengakui tahun 2025 menjadi cabaran besar buat dirinya apabila sedang menjalani proses pemulihan kecederaan lutut yang memaksanya berehat selama dua bulan daripada sebarang kejohanan.
“Tahun ini agak mencabar untuk saya kerana sedang menjalani rawatan pemulihan. Saya perlu berehat panjang kira-kira dua bulan.
“Dalam tempoh ini, memang sukar untuk menyertai mana-mana perlumbaan dan pastinya memberi kesan kepada kedudukan ranking,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berdasarkan ranking UCI, Shah hanya ketinggalan 200 mata di belakang pelumba Colombia, Cristian David Ortega Fontalvo, manakala Harrie Lavreysen dari Belanda kekal No. 1 dunia dengan mengumpul 6,700 mata.
Shah turut menjelaskan bahawa Kejohanan Dunia pada Oktober ini menjadi sasaran utamanya tahun ini.
“Kejohanan Dunia adalah perlumbaan besar seterusnya buat saya. Harapan saya untuk pulih sepenuhnya dan dapat kembali ke tahap prestasi terbaik menjelang kejohanan itu.
“Saya akui selepas pulih, proses untuk kembali mendapatkan kayuhan terbaik bukan mudah, tetapi saya sentiasa positif dan bersedia untuk hadapi apa jua cabaran.
“Pasukan juga sudah susun pelan terbaik untuk saya, sekarang hanya tinggal untuk saya beri komitmen penuh. Doakan saya dapat kembali lebih kuat,” katanya.
Sementara itu, adiknya iaitu Ridwan Sahrom turut menunjukkan peningkatan positif apabila kini berada di ranking ke-33 dunia dalam acara pecut dengan mengumpul 1,846 mata.