RIYADH – Ketua pengarang laman berita Independent Arabia menyatakan dalam satu wawancara bahawa bukan semua serangan ke atas negara-negara Arab dilakukan oleh Iran, lapor laman berita Middle East Eye (MEE) kelmarin.
Adhwan al-Ahmari berkata, Amerika Syarikat (AS) dan Israel cuba ‘memancing’ negara-negara Teluk ke dalam kancah peperangan sebelum membiarkannya bersendirian.
Menurut wartawan dan penganalisis politik Arab Saudi tersebut, banyak dakwaan tentang serangan palsu muncul.
“Sesetengah orang percaya bahawa perang ini adalah perangkap Amerika-Israel untuk mengheret negara-negara Teluk ke dalam konfrontasi dengan Iran,” kata Adhwan.
“Hipotesis ini saya fikir, meningkat setiap hari,” tambahnya, merujuk kepada kemerosotan kepercayaan antara Washington dan sekutunya dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Bagaimana nanti sekiranya AS mengumumkan selepas seminggu, 10 hari atau dua minggu bahawa Washington telah mencapai semua matlamatnya dalam perang ini?
“Bagaimana pula jika Washington berkata bahawa perang sudah berakhir dan kemudian meninggalkan negara-negara Teluk dalam konfrontasi terbuka?” soal Adhwan.
Tambah beliau, melainkan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dibubarkan, pembunuhan pemimpin kanan dan kemusnahan kemudahan nuklear serta peluru berpandu balistik Iran tidak akan membawa perubahan besar pada rantau itu.
IRGC adalah unit tentera elit yang ditubuhkan khusus untuk melindungi struktur pemerintahan Iran. Ia pasukan berasingan daripada tentera konvensional sedia ada.
“Membunuh pemimpin tertinggi Iran tanpa menghapuskan IRGC hanya sia-sia. Membubarkan program nuklear tanpa menghapuskan IRGC juga sia-sia. IRGC akan kembali lebih kuat, ia akan membina semula keupayaannya,” kata Adhwan.
Atas sebab itu tambahnya, AS mesti menjelaskan kepada sekutunya di Teluk dengan tepat berhubung motif Washington melancarkan perang ke atas Iran dan berapa lama ia akan berlangsung.
Presiden Donald Trump pada mulanya menyatakan bahawa perang akan berlangsung selama empat hingga lima hari sahaja sebelum bertukar menjadi empat hingga lima minggu.
Namun, pada Selasa lalu, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth pula membayangkan perang tersebut ‘tidak berkesudahan’.
Sementara itu, Iran menuduh Israel melancarkan serangan dron ke atas struktur tenaga dan awam di Teluk Arab, menyifatkannya sebagai usaha terancang untuk mengundang kemarahan serantau dan mengheret negara-negara Arab ke dalam perang.
Kata seorang pegawai Kementerian Luar Iran kepada MEE, Israel dalang di sebalik beberapa serangan dron ke atas Arab Saudi dan juga bertanggungjawab melancarkan sekurang-kurangnya satu serangan terhadap Oman.
“Saya boleh katakan dengan jelas bahawa beberapa serangan itu tidak dilakukan oleh kami (Iran),” katanya.
Dua sumber Iran lain memberitahu MEE bahawa perisikan Israel, Mossad melancarkan beberapa serangan dron sambil menambah, Tehran mengesan aktiviti mereka di tanah Iran.
Pihak berkuasa sedang mencari gudang yang digunakan oleh Mossad untuk menyimpan dron dan Iran komited untuk menghapuskan kesemuanya.
“Kami tidak terkejut jika terdapat gudang dan bilik operasi sedemikian di negara lain di rantau ini yang digunakan oleh Israel untuk menyerang negara-negara Arab,” kata sumber.
Mossad diketahui membina rangkaian ejen, pemberi maklumat dan logistik di Iran, yang membolehkan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran bernilai tinggi. – AGENSI

12 hours ago
5

















































