Budi95: 13.1 Juta rakyat jimat RM800 juta sebulan

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan Program Budi Madani RON95 (Budi95) yang mula dilaksanakan pada 30 September lalu mencatat kejayaan besar apabila lebih 13.1 juta rakyat menikmati penjimatan keseluruhan sebanyak RM800 juta dalam bulan pertama pelaksanaannya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, rakyat membelanjakan RM2.66 bilion untuk pembelian petrol bersubsidi RON95 sepanjang bulan Oktober, di bawah kadar istimewa RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.

Menurutnya, angka berkenaan turut melibatkan lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu aktif, khususnya di Sabah dan Sarawak yang turut menikmati manfaat program tersebut.

“Budi95 memastikan rakyat menerima subsidi secara terus tanpa proses yang rumit dan membolehkan kerajaan menyalurkan semula penjimatan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak 13 Oktober lalu, kerajaan turut menaikkan had kelayakan bulanan petrol RON95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan, yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 58,000 pemandu e-hailing di seluruh negara.

MOF menjelaskan, secara purata penerima Budi95 di bawah kategori persendirian menggunakan 98.2 liter petrol sebulan, iaitu masih di bawah had kelayakan maksimum 300 liter yang ditetapkan bagi setiap pengguna.

Setakat 26 Oktober, hanya 0.7 peratus penerima dilaporkan menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka, termasuk 0.6 peratus pengguna persendirian dan 0.3 peratus pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu.

Bagi memastikan manfaat program tidak disalah guna, MOF bersama KPDN akan memperketat pemantauan di stesen minyak, selain memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyeleweng atau menjual semula petrol bersubsidi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“MOF juga telah mengenal pasti beberapa corak penggunaan luar biasa, termasuk penerima yang menghabiskan keseluruhan had bulanan dalam tempoh singkat dan berulang kali membeli petrol di stesen berhampiran sempadan negara.

Sehubungan itu, Kerajaan Madani melalui MOF dan KPDN akan terus memperkukuh pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna, bagi memastikan manfaat Budi95 tidak
diselewengkan,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |