ALOR GAJAH – Percutian sebuah keluarga di Melaka berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia dipercayai akibat lemas ketika mandi-manda di sebuah kolam air panas di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam, mangsa yang datang bersama keluarganya dari Pahang, ditemui orang awam dalam keadaan terapung di kolam dewasa.
Menurut sumber, kejadian itu kemudian dilaporkan kepada Sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom) yang berada di lokasi sebelum bantuan kecemasan termasuk pernafasan kecemasan (CPR) diberikan.
“Ambulans Hospital Alor Gajah yang tiba bersama bersama pasukan perubatan kemudian membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.24 malam.
“Semasa kejadian, mangsa dikatakan berada di bawah pengawasan ibu saudara dan kakaknya, namun kanak-kanak lelaki itu dipercayai telah pergi ke kolam dewasa tanpa disedari sebelum ditemui lemas oleh orang awam di situ,” katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes sedang disiasat Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Dalam pada itu, petugas Parakom terlibat, Nor Azura Tamsir, 35, berkata, ketika kejadian dia mendengar jeritan orang awam meminta bantuan perubatan.
“Saya terdengar orang menjerit panggil ‘medik’ dari arah kolam dewasa sebelum melihat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menarik mangsa ke tepi kolam.
“Mangsa ketika itu tidak sedarkan diri dan mulutnya sudah berbuih, saya telah melakukan CPR sebanyak tiga kitaran, namun mangsa masih tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” ujarnya.
Katanya, beberapa individu yang berada di lokasi kemudian datang dan meraung sebaik menyedari keadaan mangsa.
Tambahnya, kawasan itu hanya mempunyai sebuah kolam kanak-kanak dan sebuah kolam dewasa dengan kedalaman kira-kira 1.2 meter. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
7



![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)








































