KALAU saya berpuasa tetapi dalam hati saya ada niat untuk kuruskan badan, bolehkah? Mohon penjelasan.
JAWAPAN: NIAT merupakan elemen terpenting di dalam sesuatu ibadah kerana berfungsi untuk membezakan sama ada perkara yang dilakukan itu dikira sebagai ibadah atau satu perbuatan biasa sahaja.
Selain itu, niat juga berfungsi untuk membezakan antara tahap-tahap ibadah dan membezakan antara bentuk-bentuk ibadah yang pelbagai.
Kewajipan niat dalam setiap ibadah ini adalah bersandarkan kepada banyak dalil, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seungguhnya setiap amalan hanya berdasarkan niat. Sesungguhnya setiap orang hanya memperolehi apa yang dia niatkan. Sesiapa yang hijrahnya diniatkan kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya untuk dunia yang dicarinya, atau wanita untuk dikahwininya, maka hijrahnya adalah untuk apa yang dia niatkan.” (Riwayat Muslim]
Hadis di atas ini menunjukkan bahawa hanya amalan yang diniatkan kerana Allah SWT yang akan diterima oleh Allah. Sebaliknya, sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dengan meniatkan kepada perkara duniawi, maka dia hanya mendapatkan perkara yang duniawi itu.
Dalam keadaan tertentu, adakalanya penggabungan niat ibadah dengan sesuatu yang bukan ibadah boleh menyebabkan ibadah tersebut terbatal. Misalnya, seseorang yang melakukan sembelihan ibadah korban dengan niat kerana Allah SWT dan pada masa sama, meniatkan sembelihan tersebut kepada sesuatu yang lain.
Begitu juga fuqaha dalam kalangan Mazhab Syafi’i berbeza pandangan mengenai penggabungan niat antara sesuatu ibadah dengan perkara lain yang boleh terhasil daripada ibadah tersebut, sama ada perkara itu diniatkan ataupun tidak. Misalnya, penggabungan niat berwuduk dengan niat untuk menyejukkan badan. Pandangan yang paling kuat dalam mazhab Syafi’i adalah pandangan yang membenarkan penggabungan dalam kategori ini.
Justeru itu, penggabungan niat dalam ibadah puasa antara niat kerana Allah SWT dengan niat untuk kesihatan tubuh badan adalah termasuk dalam kategori gabungan yang dibenarkan.
Dalam hal ini, tujuan berpuasa dengan niat sampingan untuk mengurangkan berat badan boleh disamakan seperti seseorang yang berpuasa dan mempunyai niat sampingan untuk kesihatan tubuh badan.
Penggabungan niat ini juga tidak termasuk sebagai perbuatan yang bertentangan dengan keikhlasan ibadat.
Sungguhpun begitu, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa perlu juga dilihat kepada tahap kekuatan antara kedua-dua niat tersebut, Sekiranya niat untuk mendapatkan kemaslahatan duniawi itu lebih kuat, maka orang yang berniat demikian tidak akan mendapat ganjaran.
Imam al-Qarafiy juga menjelaskan perbezaan antara riyak yang menyebabkan sesuatu amalan itu tidak diterima, dan antara penggabungan niat yang dibenarkan iaitu perbuatan riyak membawa kepada memuliakan dan membesarkan sesuatu selain Allah SWT.
Ia berbeza dengan penggabungan niat yang hanya untuk mendapatkan kemaslahatan dan tiada sama sekali aspek-aspek membesarkan sesuatu selain Allah.
Sementara itu, fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Fatwa Mesir juga membenarkan gabungan niat puasa iaitu antara niat ibadah dengan niat untuk mengurangkan berat badan.
Jabatan Fatwa Mesir juga menjelaskan bahawa sekiranya seseorang itu berpuasa dengan niat untuk menguruskan badan semata-mata, maka puasa tersebut tidak dikira sebagai ibadah.
Selain itu, Ensiklopedia Fiqh (Kuwait) turut membenarkan penggabungan niat puasa antara niat ibadah dan niat untuk kesihatan tubuh badan. Ini kerana, niat untuk kesihatan tubuh badan melalui ibadah puasa itu akan terhasil dengan sendirinya sama ada diniatkan atau tidak.
Kesimpulannya, perbuatan menggabungkan niat ini dibenarkan oleh syarak mengikut kriteria yang telah dijelaskan tadi.
Namun begitu, adalah lebih baik untuk kita memfokuskan niat sesuatu amalan ibadah itu kerana Allah SWT semata-mata.
Dengan memfokuskan niat kerana ibadah, kita akan lebih khusyuk dan menghayati setiap ibadah yang dilaksanakan. Pada masa sama akan tercapai juga kelebihan-kelebihan daripada sesuatu ibadah tersebut.