Bilal meninggal dunia selepas laung azan maghrib

10 hours ago 8

PETALING JAYA – Pemergian seorang bilal muda, Ahmad Haziq Jailani, 32, yang dilaporkan menghembuskan nafas terakhir selepas melaungkan azan maghrib di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang semalam mengundang rasa hiba dan sebak dalam kalangan ahli kariah serta masyarakat setempat.  

Perkhabaran mengenai kematian Allahyarham tular di media sosial sejak pagi tadi apabila ramai pengguna berkongsi kisah dan kenangan bersama bilal tersebut. 

Rata-rata menyifatkan Allahyarham Ahmad Haziq sebagai seorang yang aktif dalam program kemasyarakatan serta sentiasa mengimarahkan rumah Allah.

Menerusi perkongsian tular, Allahyarham difahamkan meninggal dunia selepas selesai melaungkan azan maghrib sebelum dipercayai mengalami serangan jantung. 

Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang turut mengesahkan pemergian Allahyarham menerusi satu poster rasmi yang dimuat naik di media sosial.

Allahyarham yang dilahirkan pada 8 Julai 1993 berkhidmat sebagai Bilal 2 di masjid berkenaan dan dikenali sebagai seorang yang istiqamah mengimarahkan rumah Allah serta aktif dalam pelbagai program belia dan kebajikan.

Seorang kenalan, MN Afzan AbWahab menerusi hantaran Facebook berkata, Allahyarham merupakan insan yang sentiasa mengingatkan orang lain kepada Allah sepanjang hayatnya.

“Almarhum dijemput Allah sejurus selesai melaungkan azan. Almarhum mengakhiri hayatnya dalam keadaan melaksanakan satu ibadah yang mulia, menyeru manusia kepada solat, mengagungkan nama Allah dan mengajak manusia menuju kejayaan.

“Benarlah, Almarhum adalah antara sahabat yang apabila bersama dengannya, kita diingatkan kepada Allah. Bahkan selepas pemergiannya juga, beliau terus mengingatkan kita tentang kehidupan yang sementara dan perjalanan menuju akhirat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi kenalan dikenali sebagai Zaidy Abdul Talib menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada komuniti setempat.

“Masih terbayang senyuman, semangat dan kesungguhannya dalam setiap gerak kerja jemaah. Al-Marhum Ustaz Ahmad Haziq bukan sahaja istiqamah mengimarahkan masjid sebagai bilal, malah sangat aktif bersama program-program pemuda dan sentiasa hadir membantu dalam pelbagai tugasan.

“Perginya pada usia muda benar-benar meninggalkan kesan kepada sahabat seperjuangan. Kehilangannya bukan sekadar kehilangan seorang petugas, tetapi kehilangan seorang anak muda yang mengabdikan sebahagian besar hidupnya untuk agama, masjid dan masyarakat,” katanya.

Pengurusan jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung hari ini di Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang sebelum solat jenazah diadakan pada pukul 10 pagi.

Perkongsian mengenai pemergian Allahyarham turut dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada orang ramai yang berharap rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Perginya selepas menyeru manusia kepada Allah. Mudah-mudahan Almarhum dipanggil kembali oleh Allah dalam keadaan Allah reda kepadanya,” tulis seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |