Bersatu tawar 76 inisiatif dalam manifesto, 9 tunjang utama

7 hours ago 4

NILAI – Parti Bersatu menawarkan 76 inisiatif menerusi manifesto Demi Nismilan yang memberi tumpuan kepada penciptaan peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan, pendidikan dan kebajikan rakyat sekiranya diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, manifesto berteraskan sembilan tunjang pembangunan itu dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan pelbagai lapisan masyarakat, potensi negeri serta menghormati Adat Perpatih.

Katanya, antara tawaran utama ialah mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun menerusi pembangunan Koridor Industri Halal Negeri Sembilan, Koridor Logistik Negeri Sembilan dan industri bernilai tinggi seperti tenaga hijau, kenderaan elektrik serta kecerdasan buatan (AI).

“Bagi membantu peniaga kecil pula, Bersatu akan mewujudkan Dana Nismilan Niaga Prihatin bernilai RM5 juta untuk menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah serta latihan teknologi digital kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kami juga menawarkan pengecualian sewa selama dua tahun kepada penjaja berdaftar di pasar pagi, pasar tani dan pasar malam milik pihak berkuasa tempatan (PBT), selain diskaun sewa 50 peratus di medan selera, pasar awam dan premis PBT terpilih,” katanya ketika melancarkan manifesto parti itu sempena Pilihan Raya Negeri, Negeri Sembilan ke-16 di Nilai hari ini.

Dalam sektor pertanian, katanya Bersatu menawarkan Dana Tanah Produktif NS bernilai RM2 juta setahun bagi membangunkan projek pertanian bernilai tinggi selain mewujudkan Koridor Ruminan NS untuk meningkatkan pengeluaran daging dan tenusu tempatan.

Manifesto itu turut menggariskan penubuhan rangkaian Gerai Nismilan Prihatin bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih mampu milik.

Bagi sektor pendidikan, Bersatu berjanji menjadikan Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) sebagai institusi TVET bertaraf antarabangsa, mewujudkan Nismilan EduFund bernilai RM25 juta, Dana Prihatin Pendidikan RM20 juta, bantuan tunai menerusi program Jom Poi Sekolah serta bantuan pengangkutan RM50 sebulan kepada 2,000 pelajar.-KOSMO! ONLJNE

Read Entire Article
Pertanian | | | |