KUALA LUMPUR – Enggan statik di tempat sama, pelakon Ben Amir kini menetap di Pulau Siargao, Filipina sejak sebulan lalu demi mencari ketenangan dan hala tuju baharu selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia lakonan.
Kata Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, dia menjual hampir semua harta miliknya kecuali sebuah kereta sebelum berpindah ke pulau berkenaan.
“Saya sudah berlakon selama 15 tahun dan rasa buat perkara sama, tiada perkembangan.
“Cukuplah kehidupan di bandar. Saya jual semua kecuali kereta dan berpindah ke sini (Siargao). Keputusan yang berani dan keluarga pun terkejut,” katanya menerusi video dalam saluran YouTube miliknya.
Tambah pelakon Rebel itu, dia mula jatuh hati pada pulau tersebut sejak pertama kali melawat kawasan itu pada hujung 2023.
Namun ketika kunjungan semula pada 2024, hatinya nekad untuk menetap di sana secara kekal.
“Saya mula melawat Siargao pada hujung 2023 dan masa itu sekadar angan-angan nak pindah. Bila sampai semula pada hujung 2024 ada sesuatu yang berubah.
“Pulau ini bagaikan memanggil saya, susah nak cakap bagaimana. Ketika itu saya buat keputusan untuk pindah sini,” ujarnya.
Ben turut menyifatkan keputusan itu sebagai salah satu ‘sumpahan Siargao’ kerana ramai individu yang datang ke pulau tersebut akhirnya mahu terus menetap.
“Apabila bersembang dengan ramai orang, mereka semua cakap perkara sama. Ia bagaikan sumpahan Siargao,” dedahnya.
Kini, Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34) itu sedang membina rumah sendiri selain memulakan projek tanaman di kawasan tanah miliknya di pulau berkenaan.
Dia turut mengakui hidup lebih tenang dan tidak lagi tertekan dengan rutin mengejar masa seperti ketika tinggal di Kuala Lumpur. — KOSMO! ONLINE