Bekas pengurus jualan didenda RM210,000 kes suapan urusan pinjaman perumahan

1 day ago 7

MELAKA – Seorang bekas pengurus jualan sebuah bank dijatuhi hukuman denda RM210,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas 20 pertuduhan menerima suapan berkaitan urusan pinjaman perumahan berjumlah RM211,636.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohamad Faqih Mustapha, 37, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pilihan, Mohamad Faqih didapati menerima antara RM880 hingga RM16,723 setiap transaksi, sebagai ganjaran kerana memudahkan firma guaman diberikan rujukan kes daripada bank ketika beliau menjawat jawatan pengurus jualan.

Tertuduh didakwa tidak melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis, seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.

Sebanyak 19 transaksi disalurkan ke akaun bank adik perempuannya, manakala satu transaksi dimasukkan ke akaun bank miliknya sendiri.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah, antara Mei 2018 hingga September 2022.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Mohamad Faqih memohon denda minima diberikan dengan alasan ia adalah kesalahan pertama tertuduh selain kini anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan bagi mencerminkan kepentingan penguatkuasaan undang-undang terhadap rasuah.

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM210,000 atau penjara antara dua hingga empat bulan jika gagal bayar. Wang jaminan berjumlah RM87,000 turut dipulangkan kembali kepada tertuduh. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |