Bekas calon DUN Tiram didakwa ‘songlap’ duit Pertubuhan Pemulihan Dadah

1 day ago 9

JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyalahgunakan wang pertubuhan berjumlah keseluruhan RM21,000, lima tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Aziz Harun, 50, yang juga bekas calon sebuah parti politik bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tiram pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu Pengerusi Pertubuhan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Johor Bahru tersebut didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang pertubuhan dengan jumlah keseluruhan RM21,000.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Bandar Baru Permas Jaya, di sini antara 9 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2021.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan, dan juga boleh dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Muhammad Rafique memohon jaminan yang minima terhadap anak guamnya berjumlah RM10,000.

“Perniagaan yang diusahakan anak guam saya ketika ini kurang baik, malah dia mempunyai tanggungan tiga orang anak yang masih bersekolah.

“Tambahan pula, tertuduh sentiasa memberi kerjasama yang baik apabila dipanggil sebanyak 17 kali bagi membantu siasatan. Mohon jaminan kurang dikenakan,” ujarnya.

Difahamkan, pertubuhan tersebut kini telah dibubarkan dan tertuduh tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti politik.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Mei depan bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |