Bekas akauntan GISBH insaf, mahu kembali ke jalan benar

13 hours ago 7

KAJANG – “Saya mengaku kerana saya memang bersalah dan mahu pulang ke jalan yang benar. Sejak setahun (ditahan reman), saya sudah tidak ada apa-apa dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).”

Itulah kata-kata Hamimah Yakub, 72, salah seorang ahli GISBH yang mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang di sini hari ini atas pertuduhan menjadi anggota pertubuhan menyalahi undang-undang.

Hamimah yang juga bekas akauntan syarikat berkenaan turut mengakui kesilapan lampau dan berazam untuk tidak lagi terlibat dalam sebarang kegiatan atau fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Saya sudah tidak ada kaitan dengan GISBH. Dalam tempoh jaminan pun, saya menjaga hubungan dan tidak lagi berurusan dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Beliau hadir ke mahkamah bersama peguam-peguamnya, Muhammad Nor Tamrin dan Kamal Hisham Ja’afar.

Menurut Muhammad Nor, anak guamnya merupakan antara tertuduh terawal yang diberikan peluang oleh mahkamah untuk dibebaskan dengan ikat jamin pada 13 Januari 2025 selepas menunjukkan kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

“Sejak tarikh itu, beliau telah mengikuti program pemulihan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah seliaan Bahagian Pemulihan Akidah, yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, dengan fokus kepada pemulihan fahaman menyeleweng,” katanya.

Beliau berkata, anak guamnya telah mengikuti kesemua sesi termasuk bimbingan agama, kaunseling dan pemantapan akidah yang dikendalikan oleh tenaga pengajar Jakim serta institusi Islam tempatan.

“Beliau bukan sahaja mematuhi setiap arahan yang diberikan, malah menunjukkan perubahan ketara dalam sikap dan kefahaman agama. Hamimah kini benar-benar insaf,” katanya.

Dalam masa sama, Muhammad Nor menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi atau persepsi negatif terhadap tertuduh yang telah pun mengaku bersalah dan menjalani proses pemulihan secara sah.

“Kita tidak mahu masyarakat terus menghukum mereka. Sebaliknya, berilah peluang untuk mereka memperbaiki diri dan menyumbang semula kepada masyarakat melalui jalan yang benar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |