BATC2026: Korea terlalu kuat buat Malaysia

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Langkah skuad badminton wanita kebangsaan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 menemui titik noktah apabila tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada Korea Selatan.

Pada aksi di Pusat Sukan Qingdao, China hari ini, wirawati negara cuba melakar kejutan ke atas pilihan kedua kejohanan, namun akur dengan kekalahan 0-3.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen tanpa berselindung mengakui, Korea terlalu kuat jika dibandingkan dengan pasukan negara yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.

Jelasnya, pemain-pemain negara turut menunjukkan beberapa perkembangan positif sepanjang kejohanan, sekali gus memiliki potensi untuk terus berkembang menjadi lebih baik.

“Kami tahu siapa yang akan ditentang hari ini dan terbukti bahawa mereka adalah pasukan jauh lebih baik berbanding kami. Kita sudah cuba berikan yang terbaik.

“Dalam sebahagian besar perlawanan ini, kita kurang melawan dan bertahan tetapi saya dapat melihat beberapa perkara positif dalam karakter pemain-pemain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sejurus tamat perlawanan.

K. Letshanaa sebagai perseorangan pertama berdepan pemain No. 1 dunia, An Se Young dan terpaksa akur menerusi kekalahan straight set 11-21, 11-21 dalam tempoh 36 minit.

Korea menggandakan kedudukan menerusi beregu wanita, Baek Ha Na-Kim Hye Jeong yang tidak berdepan banyak masalah menewaskan gandingan muda, Carmen Ting-Ong Xin Yee 21-13, 21-9.

Hasrat perseorangan kedua, Wong Ling Ching untuk mengutip satu mata tidak kesampaian apabila tewas 16-21, 12-21 kepada Park Ga Eun, sekali gus menamatkan perjalanan skuad wanita di BATC.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad wanita negara pada acara berpasukan itu adalah ketika edisi 2020 dan 2022 di mana mereka berjaya melangkah ke separuh akhir. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |