JITRA – Seorang ibu tidak menyangka pelukan erat anak keduanya sambil meminta agar dihalalkan setiap titis susu diberikan menjadi kenangan terakhir antara mereka sebelum anak lelakinya itu ditemukan lemas di Sungai Korok, di sini Isnin lalu.
Menurut Nazirah Ismail, 67, selepas kejadian itu, dia mula teringat kembali pertemuan dengan Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak, 32, yang datang ke pondok pengajian agama Kodiang, dekat sini pada 27 Jun lalu.
“Apa yang paling saya sedih sekali apabila Azim peluk saya dengan erat sekali dan mintak halalkan susu. Saya jawab apa yang mak bagi kepada Azim dan keluarga mak halal dunia akhirat, mak tak pernah ingat apa.
“Selepas itu, masa nak balik Azim keluar semula dari kereta dan peluk saya sekali lagi. Saya tanya kenapa Azim macam itu? Dia hanya jawab dia rasa macam tak mahu lepaskan mak (pelukan),” katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Taman Seri Aman, di sini hari ini.
Kata pesara itu lagi, arwah juga memohon ampun dan maaf kerana tidak dapat memberi kesenangan kepadanya.
“Dia minta ampun dan maaf kerana tidak dapat bagi mak senang, dia kata abang selalu bagi masalah kepada mak. Saya kata abang jangan merapu, bukan mak nak pergi mana pun,” ujarnya.
Katanya, dia seterusnya meminta anaknya itu datang menziarahinya lagi jika teringatkannya.
“Saya kata kalau abang (Azim) teringat mak, datanglah kepada mak dan kalau mak teringat (Azim), nanti mak pergi la jumpa abang. Saya tak terfikir langsung (petanda) sebelum berlaku kejadian itu,” ujarnya.
Tambahnya, anak kedua daripada enam beradik itu seorang anak yang baik dan sangat rapat dengan adik beradik lain.
“Kalau berkumpul, kami akan solat berjemaah dan arwah akan jadi imam, bergilir dengan adik bongsunya. Di rumah pun, dia biasanya solat berjemaah dengan isteri dan anak-anak terutama waktu maghrib dan isyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE