PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tidak bersetuju dengan pendekatan menyenaraikan terlalu banyak acara bagi membantu Malaysia menjadi juara keseluruhan pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.
Kebiasaannya, negara-negara penganjur akan memasukkan beberapa acara atau sukan yang memberi kelebihan kepada tuan rumah sebagai usaha bagi mendapatkan kelebihan dalam carta kedudukan pingat.
Bagaimanapun, Norza berkata, sekiranya Malaysia terus kekal dengan mentaliti ‘jaguh kampung’ seperti itu, ia tidak akan membantu perkembangan sukan dalam negara untuk tempoh jangka panjang.
“Kita perlu faham bahawa selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kita hanya mampu untuk menamatkan saingan di kedudukan kelima atau keenam pada edisi-edisi seterusnya. Adakah itu anda panggil kejayaan?
“Kejayaan adalah mengenai kesinambungan dan mengekalkan kedudukan (carta pingat). Kita perlu jadikan Sukan SEA atau (kejohanan) peringkat Asia sebagai medan untuk berjaya di pentas Olimpik.
“Sekiranya kita terus berfikir mengenai bagaimana mahu menjadi ‘jaguh kampung’, apa faedahnya? Saya tidak fikir ia satu tindakan yang betul,” kata Norza yang baru sahaja mempertahankan jawatan Presiden MOM buat penggal ketiga.
Kali terakhir Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA ketika menganjurkan temasya sukan itu pada 2017 selepas merangkul 145 pingat emas, 96 perak dan 86 gangsa.
Aksi cemerlang itu gagal diteruskan pada edisi seterusnya apabila menamatkan Sukan SEA Manila 2019 di tangga kelima, Sukan SEA Vietnam 2021 (keenam) dan Sukan SEA Kemboja 2023 (ketujuh).
Sementara itu, Norza sedia meneliti 50 jenis sukan dipertandingkan pada Sukan SEA Thailand hujung tahun ini sebelum membuat keputusan berhubung sukan-sukan disenaraikan untuk edisi 2027.
“Kita perlu melihat apa yang akan berlaku di Thailand nanti. Sudah tentu ia (50 sukan) turut bergantung kepada kewangan dan sebab itu ada cadangan supaya persatuan antarabangsa memberi sokongan terhadap sukan masing-masing,” ujarnya.