PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pengurusan tertinggi IJM Corporation Berhad susulan kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu telah ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas kediaman beliau dibongkar.
“SPRM telah melakukan pemeriksaan dan penggeledahan di tiga lokasi baharu iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan selain sebuah bank pelaburan dan kediaman suspek.
“Siasatan awal mendapati bank pelaburan tersebut telah dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan ke atas IJM Corporation Berhad termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, suspek dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil berikutan turut mengalami masalah kesihatan.
Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas telah menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 billion di luar negara.
Siasatan itu dibuat susulan wujud potensi elemen kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
Sehubungan itu, SPRM telah membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah kira-kira RM30.6 juta.
Jelas sumber, siasatan kini menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
“Setakat ini kami telah memanggil 15 orang saksi termasuk isteri suspek untuk dirakam percakapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.
Katanya, fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Suspek telah dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil memandangkan suspek turut mengalami masalah kesihatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3

















































