KUALA LUMPUR – ASEAN dan China bakal melaksanakan latihan maritim buat pertama kali sebagai langkah memperkukuh kerjasama keselamatan serantau di Laut China Selatan sekali gus mencerminkan komitmen mengekalkan keamanan serta kebebasan pelayaran di kawasan itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, latihan tersebut bukanlah antara Malaysia dan China secara dua hala, sebaliknya merupakan inisiatif kolektif ASEAN–China yang menekankan pendirian neutral blok Asia Tenggara dalam hal ehwal pertahanan.
“Malaysia tidak mempunyai latihan bilateral dengan China kerana baru-baru ini saya telah mengadakan pertemuan rasmi dengan mereka. Latihan yang akan datang ini adalah antara ASEAN dan China, bukan antara dua negara.
“Latihan seperti ini, sama ada dengan China atau negara lain adalah usaha ASEAN untuk mengekalkan sikap neutral dan terbuka. ASEAN berhak menjalankan latihan dengan mana-mana pihak yang menyokong keamanan dan kebebasan laluan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) dan ADMM-Plus ke-12 di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, latihan maritim itu juga akan menjadi medan untuk memperkukuh kebolehan saling boleh kendali antara aset tentera laut negara-negara ASEAN dan China dalam mengurus situasi di laut serta mempertingkat keupayaan keselamatan bersama.
“Ini bukan latihan bersifat provokatif. Ia lebih kepada perkongsian pengetahuan, meningkatkan koordinasi teknikal dan mengukuhkan hubungan kepercayaan antara pihak-pihak yang terlibat,” jelasnya.
Menyentuh kebimbangan mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan China di Laut China Selatan, beliau menegaskan bahawa Malaysia memilih pendekatan diplomasi sebagai jalan terbaik menangani cabaran itu.
“Kita tidak boleh mengawal tindakan mana-mana negara sama ada besar atau kecil. Namun, kita percaya bahawa dengan terus bertemu dan berbincang, perbezaan dapat diuruskan dan yang paling penting, kepercayaan dapat dibina.
“Itu bukan sahaja penting bagi Malaysia untuk dipercayai oleh negara lain, tetapi juga untuk kita mempercayai mereka, termasuk China,” katanya.
Jelas beliau, Malaysia secara terbuka mengakui wujudnya cabaran di Laut China Selatan, termasuk tindakan China di kawasan berkenaan seperti yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan negara.
“Kita tidak mahu berpura-pura bahawa semuanya baik-baik saja. Kita tahu ada cabaran, dan sebab itu kita bersikap realistik serta bersedia menguruskan situasi tersebut,” katanya.
Tambah beliau, sebarang isu keselamatan di Laut China Selatan bukan hanya masalah satu negara, sebaliknya memberi kesan kepada keseluruhan ASEAN.
“Cabaran ini perlu ditangani secara kolektif. Itulah sebabnya kita menekankan pentingnya kesepakatan ASEAN kerana jika satu negara berdepan tekanan, seluruh rantau turut merasainya.
“Kita mahu menunjukkan kepada dunia bahawa sesiapa yang datang ke kawasan ini bukan berhadapan dengan satu negara sahaja, tetapi dengan ASEAN secara keseluruhan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
6









![[VIDEO] ‘Siapa kawan dia, pemalas masak telur kicap je’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/telur-kicap.jpeg)







































