MELAKA – “Saya orang pertama yang dapat tahu (kejadian), tapi saya tak sampai hati nak beritahu kakak bahawa suaminya kemalangan dan telah meninggal dunia di lokasi.”
Itu luah Abdul Rasid Abdul Hamid, 37, adik ipar kepada Allahyarham Mohd. Shahrol Anuar Md. Roby, 44, yang maut akibat dirempuh sebuah Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Bukit Baru, semalam.
Dua lagi penunggang motosikal berusia 25 tahun dan seorang pemandu kereta 48 tahun turut cedera dalam nahas membabitkan enam buah kenderaan kira-kira pukul 2 petang itu.
Menurut Abdul Rasid, dia mengetahui mengenai kejadian selepas dimaklumkan oleh seorang penduduk kampung yang melalui kawasan kemalangan dan mengecam wajah mangsa.
“Mula-mula saya sendiri tak percaya sampailah dia pastikan perkara itu dengan menghantar gambar kad pengenalan abang ipar.
“Keadaan ini terlalu mengejut, saya tidak beritahu terus kepada kakak kerana saya tak mampu, jadi yang lain tolong sampaikan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka lewat petang semalam.
Tambahnya, pasangan itu mempunyai empat orang anak berusia antara 17 hingga 10 tahun dan menjadi rutin arwah untuk menghantar serta mengambil anak-anaknya bersekolah kerana isterinya bekerja sebagai penjawat awam.
“Dia yang uruskan anak-anak dia bersekolah dan masa kejadian arwah mahu mengambil anak nombor tiga yang juga merupakan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).
“Kali terakhir saya jumpa arwah pada malam tadi (kelmarin) di kedai makan yang kami usahakan bersama di Kampung Solok Bukit Baru Duyong, saya tebar roti canai dia bahagian goreng-goreng, kedai kami buka dari petang sampailah malam sekitar pukul 10 lebih,” ujarnya.
Semalam Kosmo! seorang peniaga maut, manakala tiga lagi cedera selepas pemandu sebuah Perodua Myvi yang dipercayai mengalami ‘microsleep’ merempuh lima kenderaan di lampu isyarat persimpangan Padang Jambu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohd. Shahrol Anuar yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, muka, badan dan tangan.
Tiga lagi mangsa, masing-masing dua penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Suzuki Raider R150 berusia 25 tahun dan seorang lagi pemandu kereta Proton Saga 48 tahun masing-masing mengalami kecederaan di kaki kanan serta dahi dan bahu kanan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pemandu Myvi tersebut berusia 35 tahun bagaimanapun hanya mengalami melecet di bahagian siku dan permohonan reman akan dibuat hari ini di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3













![[VIDEO] Penangan Sara…habis licin sosej, nuget](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/SARA-BELANJA-TULAR-VIRAL.jpeg)
![[VIDEO] ‘Minggu depan sayur, ikan tak ada, kasi settle minggu ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/TULAR-VIRAL-IKAN-PASAR.jpeg)


































