KUALA LUMPUR – Membiarkan diri dicemuh gara-gara kaki menguis janggut aktor Faizal Hussein dalam drama Bidaah, pelakon Vanidah Imran kini lebih peka dengan sensitiviti umum ketika pembikinan siri sambungan naskhah popular itu, Walid.
Vanidah, 53, berkata kecaman daripada penonton yang tidak mengetahui kisah belakang tabir drama berkisar penunggang agama itu membuatkannya semakin menitikberatkan setiap aspek lakonan bagi mengelakkan kontroversi.
“Dulu saya dikritik teruk kerana aksi dalam Bidaah tetapi saya tetap memilih untuk diam. Tiada keperluan menjelaskan kerja saya kepada orang. Ini adalah kerja saya sebagai pelakon.
“Apa pun, bagi drama Walid, saya lebih berjaga-jaga termasuk kawal ekspresi. Penerbit, Erma Fatima ada menegur menyatakan memek muka saya salah. Saya jawab ‘tak kisah’.
“Bukan membangkang, saya buat apa yang saya rasa sesuai dengan watak dan selebihnya, saya serahkan kepada mereka yang pakar dalam proses suntingan.
“Kalau perlu diubah, sunting sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri siaran Viu Original, Walid di Saloma Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.
Enggan melayani tohmahan yang mengaitkan aksinya dengan pelakuan maksiat, Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 itu mengakui terkilan apabila babak Bidaah yang disiarkan tahun lalu ditularkan semula.
“Usia saya pun sudah setengah abad. Cuba jelaskan kepada netizen yang muda dan suka menghakimi, tak perlu. Hendak kata saya buat maksiat atau cakap apa-apa, itu hak mereka.
“Saya cuma tertanya-tanya orang pertama yang tularkan perkara ini ketika Ramadan, apa niatnya? Waktu berbuka puasa, jari itu yang digunakan untuk sebarkan.
“Kalau saya pilih untuk tidak memaafkan, itu hak saya. Niat awak apa bila viralkan? Itu sahaja yang saya mahu tahu,” ujarnya.
Pada masa sama,Vanidah menegaskan kekal berpegang kepada prinsip untuk menjaga maruah diri serta profesionalisme sebagai pelakon.
Baginya, semua komen mahupun kecaman merupakan sebahagian daripada cabaran sebagai penggiat seni lakon.
“Semua yang perlu saya depani adalah sebahagian daripada kerja. Selagi saya tahu siapa diri saya dan menjaga batas, itu sudah cukup.
“Saya juga percaya penonton yang matang akan memahami perbezaan antara watak serta dunia realiti,” katanya.
Terdahulu, menerusi babak yang tular, Vanidah yang membawakan karakter Ummi Rabiatul berbaring di atas katil dan menyentuh janggut ketua ajaran sesat, Walid lakonan Faizal menggunakan kaki.
Menerusi maklum balas netizen di laman sosial, ramai meninggalkan komen negatif kerana kecewa dengan paparan adegan tersebut atas alasan drama itu disiarkan ketika Ramadan.
Menyentuh mengenai sambungan Bidaah iaitu Walid yang bakal menemui penonton pada 26 Februari ini juga pada bulan puasa, Vanidah menyatakan kisah kali ini lebih dramatik.
Naskhah terbitan Rumah Karya Citra ini turut menampilkan Aqasha, Olla Ramlan dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar arahan Pali Yahya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
1

















































