Anugerah Madani Agro Excellence iktiraf pengusaha industri pertanian, makanan

2 hours ago 1

PUTRAJAYA – Anugerah Kecemerlangan Agro Madani (Madani Agro Excellence Awards) dilihat menjadi platform terbaik dalam usaha menghargai usaha gigih semua pemain industri yang terlibat dalam rantaian nilai industri makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya satu amanah untuk memberikan yang terbaik.

Katanya, ia juga untuk menjadi contoh terbaik sebagai peneraju dan pemangkin kepada pembangunan sektor agro makanan Malaysia.
“Kerajaan melalui kementerian ini akan terus komited dalam memperkukuhkan sektor berkenaan melalui pelbagai inisiatif seperti pemerkasaan teknologi pertanian pintar dan digital.

“Ini termasuk peningkatan produktiviti dan kecekapan rantaian bekalan makanan, penggalakan penglibatan golongan muda dan usahawan baharu dalam industri agro.

“Selain itu ia memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan. Kita percaya bahawa dengan kerjasama erat semua pihak, Malaysia mampu mencapai tahap keterjaminan makanan yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Sementara itu, Pengerusi MySKALA, Fazrul Nizam Osman berkata, penganjuran anugerah itu bagi memberi pengiktirafan kepada pelbagai pengusaha industri pertanian dan makanan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri pemakanan negara.

Katanya, anugerah tersebut memberi pengiktirafan khas kepada penyumbang teknologi, pelopor industri yang berkesan, kerjasama koperasi cemerlang dan juga kecemerlangan bumiputra.

“Program ini memberi pengiktirafan khusus kepada kecemerlangan individu, atas dasar keusahawanan cemerlang dan juga pencapaian sepanjang hayat hasil sumbangan yang tidak ternilai kepada rantai bekalan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |