Perkataan ‘menghina, menjengkelkan’ dalam Seksyen 233 sah, berpelembagaan

3 hours ago 1

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan bahawa dua perkataan iaitu ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan, dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah berperlembagaan dan sah di sini undang-undang.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Turut bersidang, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali serta Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pada tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan “menghina “dan “menjengkelkan” dalam Seksyen 233 sebagai tidak berperlembagaan dan membatalkannya selepas membenarkan rayuan aktivis, Heidy Quah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.

Wanita itu mempertikaikan penggunaan istilah berkenaan yang didakwanya bercanggah dengan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada Julai 2021, Heidi Quah, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat kenyataan menyinggung perasaan menerusi satu hantaran di Facebook dan pada 2022, beliau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mahkamah mendapati pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) adalah cacat.

Dalam prosiding terdahulu semasa hujahan Peguam Persekutuan Kanan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin berhujah bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila membatalkan dua perkataan dalam Seksyen 233.

Shamsul berhujah bahawa pindaan yang dibuat terhadap Seksyen 233 tahun lepas telah menggantikan perkataan “offensive” (menghina) dengan “grossly offensive” (sangat menghina) dan memasukkan penjelasan bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “grossly offensive”.

Sementara Horng Bin berhujah keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan dua perkataan dalam Seksyen 233 mempunyai implikasi yang luas termasuk memberi kesan kepada individu yang telah dilepaskan dan dibebaskan.

Beliau berkata penghakiman berkenaan juga menimbulkan ketidakpastian undang-undang, dengan pesalah akan diperlakukan berbeza bergantung pada sama ada kesalahan dilakukan sebelum atau selepas pindaan.

Dalam pada itu, peguam responden (Heidy
Quah) Datuk Malik Imtiaz Sarwar dalam hujahnya pula berkata Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan betul dengan memutuskan dua perkataan dalam Seksyen 233 sebagai tidak berperlembagaan.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang tepat dalam memutuskan bahawa perkataan dalam Seksyen 233 adalah tidak selaras dengan kepentingan awam atau moral di bawah Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Malik Imtiaz berkata dua perkataan itu menjadikan pelbagai bentuk percakapan harian sebagai jenayah, tanpa sebarang pembelaan atau pengecualian bagi kesalahan di bawah Seksyen 233. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |