Anugerah The Most Influential Young Entrepreneurs rai sambutan ulang tahun ke-10

16 hours ago 5

KUALA LUMPUR – The Most Influential Young Entrepreneurs (100MIYE) q2025 yang kini menyambut ulang tahunnya  ke-10 menjadi salah satu acara berprestij yang merai dan memberi penghargaan kepada individu dalam apa juga bidang perniagaan yang diceburinya sekali gus memainkan peranan penting menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Selama sedekad memperkasakan usahawan muda, acara itu semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti perniagaan berbilang bangsa dan ia telah menerima lebih daripada 1,300 pencalonan.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Penganjur 100MIYE, Datuk KK Chua, hanya  100 calon sahaja yang terpilih untuk  menerima anugerah keusahawanan tersebut.

“Kami berbangga kerana 100 calon yang terpilih ini merintis kejayaan daripada satu perjalanan yang panjang, menunjukkan kesungguhan untuk berjaya  dan sewajarnya jerih perih mereka diraikan dalam anugerah seperti ini.

“Semoga semangat keusahawan itu akan terus membara dan mencipta lebih banyak kejayaan yang luar biasa,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Tahun ini majlis penganugerahan anjuran  majalah Entrepreneur Insight terbitan Armani Media Group Berhad mengangkat tema ‘Reimagine’ selaras hasrat penganjur untuk menyuntik lebih keyakinan kepada semua usahawan muda supaya sentiasa berfikiran positif keluar dari pemikiran lama menuju kepada pemikiran baharu.

Selain itu, Chua menerangkan, dunia perniagaan dan keusahawan alaf ini memerlukan mereka yang benar-benar bekerja keras dan sanggup menempuh segala rintangan untuk berjaya dalam persaingan.

“Mereka perlu melalui pelbagai proses yang akhirnya membantu mereka bertindak matang dalam pengurusan dan membuat keputusan.

“Mengamati maksud tema ‘Reimagine’ itu sendiri ia adalah untuk melihat sudut pandang dalam kehidupan dan perniagaan yang lebih segar, relevan dan berani.

“Bukan sekadar memperbaiki yang sudah ada, tetapi  mempersiapkan diri untuk membangunkan gagasan yang lebih kukuh, sentiasa mencari dan mencipta peluang baru sehingga mampu melangkah ke peringkat global,” jelasnya.

Tambah Chua, jadikan pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan itu sebagai kaedah pembelajaran untuk lebih berkembang maju dan berani  bereksperimen dengan perkara baharu.

“Kejayaan perniagaan juga bertitik tolak daripada kepimpinan seorang ketua organisasi yang bersama-sama menggembleng tenaga dan buah fikiran dengan pekerja,” terangnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |