Anjung Syawal di Putrajaya cecah rekod jualan RM10 juta, tarik lebih 1 juta pengunjung

1 day ago 6

PUTRAJAYA – Bazar Aidilfitri Anjung Syawal, sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 telah mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung yang datang berbelanja untuk persiapan hari raya bermula dari 28 Februari sehingga malam raya.

Lebih satu juta pengunjung datang ke bazar sehinggakan pihak penganjur terpaksa melanjutkan lagi waktu operasinya sehingga pukul 2 pagi berbanding 12 malam setiap hari dalam tempoh berkenaan.

Menariknya, bazar Aidilfitri yang dianggap terbesar di Lembah Klang ini telah memberi peluang kepada peniaga di situ dan ada yang antara mereka meraih jualan sehingga RM100,000 yang pastinya mencatat keuntungan bersih yang tinggi.

Penganjur bazar tersebut yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, sasaran awal syarikat terhadap transaksi jualan sepanjang Anjung Syawal berlangsung adalah sebanyak RM10 juta dan melihat kepada perkembangan positif itu, pihaknya optimis mencatat nilai unjuran berkenaan.

“Sasaran itu bagi membolehkan setiap lot niaga menjana jualan sehingga RM30,000 di mana kebanyakan peniaga berjaya mendapat kembali modal menyewa tapak reruai seawal minggu pertama Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Anjung Syawal yang berlangsung selama 33 hari sejak 28 Februari lalu berakhir pada 30 Mac lalu itu dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya sempena Festival Ramadan Putrajaya dengan tema Memori Ramadan, Aspirasi Syawal. 

Acara yang menawarkan pelbagai aktiviti dan reruai disediakan bagi menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi warisan turun-temurun turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Selain membeli-belah, pengunjung turut menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, cabutan bertuah dan segmen baharu seperti pangkin seni dan serambi santai yang menyediakan ruang untuk persembahan seni dan budaya.

Kemudahan seperti ruang solat, kawasan berbuka puasa berkonsepkan berkelah di padang berhadapan Perbadanan Putrajaya, dan sistem pembayaran tanpa tunai memberikan keselesaan dan memudahkan pengunjung.

Selain itu, Raydiates Blue dengan kerjasama Majlis Perwakilan Peduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya turut memeriahkan lagi sambutan menjelang syawal dengan menganjurkan majlis pelancaran ‘Malam Tujuh Likur’ pada 21 Mac lalu yang mana aktiviti budaya seperti memasang panjut dan bermain bunga api dilakukan di Laman Iftar bersama pengunjung yang hadir dalam memberikan pengalaman baru di Anjung Syawal.

Sebagai keunikan yang tiada di bazaar Aidlifitri yang lain, pihaknya telah bekerjasama dengan Kelab Usahawan Putrajaya (KUPPUTra) bagi menyediakan perkhidmatan ubah suai pakaian kepada pengunjung Anjung Syawal yang mana mendapat sambutan menggalakkan, selain menyediakan khemah berhawa dingin bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang ingin membeli belah bersama keluarga.

“Kami amat berbangga dengan sambutan luar biasa ini. Anjung Syawal bukan sahaja menjadi platform untuk peniaga kecil dan sederhana, tetapi juga simbol perpaduan dan kemeriahan budaya sempena Aidilfitri.

“Dengan pencapaian yang luar biasa ini, Anjung Syawal 2025 terus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama membeli belah persiapan Syawal yang terbesar di Putrajaya dan Lembah Klang selain memberi pengalaman unik keindahan sambutan menjelang Aidilfitri , meningkat ekonomi negara sambil menyokong peniaga tempatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |