Aniq Kasdan buru misi lebih besar di Sukan Asia

8 hours ago 5

SEPANG – Selepas mencipta sejarah mempertahankan gelaran dan memecahkan dua rekod Sukan Komanwel di Glasgow, badang negara, Mohamad Aniq Kasdan kini mengintai cabaran lebih getir apabila menyasarkan pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, September depan.

Olimpian angkat berat negara itu mengakui tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan kejayaan selepas menghadiahkan emas pertama buat kontinjen negara di Glasgow kerana perlu segera kembali menjalani latihan bagi menghadapi saingan yang jauh lebih sengit.

Aniq, yang tiba bersama kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini, berkata dia hanya akan meluangkan masa kira-kira seminggu bersama keluarga sebelum kembali ke pusat latihan di Bukit Jalil.

“Tak ada rehat yang panjang. Walaupun saya balik ke Johor, saya tetap akan terus berlatih kerana pertandingan seterusnya ialah Sukan Asia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada temasya di Glasgow, atlet kelahiran Segamat, Johor itu mempertahankan gelaran kategori 60 kilogram (kg) yang dimenanginya di Birmingham 2022 selepas melakukan angkatan keseluruhan 273kg menerusi 121kg dalam acara snatch dan 152kg dalam clean and jerk.

Lebih membanggakan, angkatan 152kg dalam clean and jerk serta jumlah keseluruhan 273kg itu turut memadam rekod lama Sukan Komanwel sekali gus mengukuhkan statusnya atlet terbaik di pentas temasya dwitahunan tersebut.

Mengulas sasaran di Aichi-Nagoya, Aniq berkata dia mahu memperbaharui rekod kebangsaan miliknya selain cuba menghadiahkan pingat buat Malaysia walaupun sedar bakal berdepan kelompok atlet terbaik dunia.

“Saya mahu memperbaiki rekod kebangsaan dan memberikan aksi terbaik. Saingan memang sangat sengit kerana kebanyakan pencabar adalah atlet bertaraf Olimpik, tetapi saya tetap akan berusaha untuk membawa pulang pingat,” katanya.

Sukan Asia di Jepun juga bakal menjadi penampilan terakhir Aniq dalam kategori 60kg sebelum beralih ke kelas 65kg sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang memburu slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |