ALOR SETAR – Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) mengambil tindakan pengawalan ke atas 2,900 anjing liar di pulau itu khususnya menjelang Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, berkata, pihaknya tidak mahu perkara buruk berlaku kepada pelancong susulan ancaman haiwan liar tersebut.
“Ia melibatkan orang ramai, tambahan Pulau Langkawi akan menerima kira-kira 400,000 pengunjung sepanjang LIMA ini. Sudah tentu benda yang tidak baik kalau pelancong berjoging dan berjalan dikejar anjing liar,” katanya ketika menjawab soalan Amar Pared Mahamud (PN-Kuah) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Katanya, tindakan perlu diambil mengikut kaedah di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Langkawi) 1995 berikutan populasi anjing yang banyak dan dibimbangi terus bertambah.
“Cuma kaedah penangkapan anjing, ada diberi garis panduan iaitu sama ada jerut, jala atau menggunakan penyauk. Anjing liar ini bukan statik, bukan dalam keadaan senyap, jadi bila letak tali dan ada penarikan dengan anjing akan berlaku sedikit pergelutan.
“Masa inilah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang sangat simpati pada binatang ini akan ambil gambar dan dakwa berlaku penyeksaan. Itu bukan anjing ‘gebu’ tapi anjing liar, ada risiko,” ujarnya.
Jelasnya, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kaedah yang betul untuk membuat tangkapan anjing-anjing liar tersebut.
“Kalau berdepan, jangan pula kita aniaya (anjing liar), jangan pukul dengan kayu, lastik atau cederakan anjing,” jelasnya.
Kata beliau, jumlah tangkapan anjing di pulau peranginan ini pada tahun 2022 adalah sebanyak 455 ekor, diikuti 2023 sebanyak 415 ekor, 2024 sebanyak 369 ekor dan pada tahun ini sehingga 3 Mac adalah sebanyak 106 ekor.
“Selain itu, MPLBP juga bekerjasama dengan NGO EcoMy bagi mengendalikan anjing-anjing liar yang telah ditangkap. Proses pemandulan dijalankan EcoMy dengan kerjasama klinik veterinar swasta di sekitar Langkawi,” katanya.
Terdahulu, beliau turut berkongsi kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang cedera parah akibat diserang lima ekor anjing liar di Kampung Dede, Sungai Menghulu di Kuah, Langkawi pada 1 Mac lalu.
“Pihak MPLBP kemudian membuat tangkapan tujuh ekor anjing liar di kawasan tersebut dan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Daerah Langkawi,” katanya. – KOSMO! ONLINE