PASIR MAS – “Saya bukan anak derhaka,” demikian luahan kesal Abdullah Ismail, 59, anak tunggal kepada warga emas, Ismail Che Noh, 79, yang tular di media sosial selepas warga emas tersebut didakwa diabai oleh keluarga.
Abdullah tampil mempertahankan diri apabila ada pihak yang menggelarnya sebagai anak tidak bertanggungjawab, sedangkan dia berdepan cabaran besar menjaga bapanya yang nyanyuk sejak setahun lalu.
Katanya, keadaan bapanya yang sering merayau tanpa arah tujuan dan agresif bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan orang lain.
“Sejak nyanyuk, dia (bapa) kerap mengamuk, pecahkan cermin tingkap dan sepahkan barang-barang.
“Keadaan itu menyebabkan cucu sulung saya yang tinggal bersama terpaksa berpindah demi keselamatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Repek di sini hari ini.
Bapa lima anak yang juga duda itu berkata, meskipun bapanya tinggal bersendirian sebelum ini, dia tidak pernah bersikap ‘lepas tangan’ dalam menjaga kebajikan warga emas tersebut.
“Setiap pagi saya akan menghantar nasi bungkus sebelum keluar bekerja. Waktu tengah hari pula, saya akan pulang untuk memandikan bapa.
“Rumah itu (lokasi ditemui) saya kunci kerana bimbang dia keluar merayau. Saya pernah ajak dia tinggal bersama, tetapi dia tidak mahu,” ujarnya.
Isu warga emas itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra, Zamakhshari Muhamad yang hadir bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penghulu bagi mendapatkan cerita sebenar, selain menyampaikan sumbangan kerusi rehat dan tilam.
Abdullah menjelaskan, selepas bapanya dibawa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas, dia segera mengambil semula bapanya untuk dibawa pulang.
“Bapa sekarang tinggal bersama saya. Demi keselamatannya, saya akan pasang jeriji di pintu bilik supaya dia tidak keluar merayau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, warga emas tersebut akan menerima bantuan RM500 bermula bulan ini yang akan dimasukkan ke dalam akaun bank ahli keluarga terdekat yang bertanggungjawab menjaga lelaki itu.
“Dalam tempoh seminggu ini, pihak JKM akan memantau keadaan Pak Mail. Selepas itu, pemantauan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan kebajikannya terus terjamin,” ujarnya.
Sebelum ini, tular kisah Pak Mail yang didakwa diabaikan keluarga dengan keadaannya tidak terurus di Kampung Repek di sini ketika diselamatkan sebuah NGO. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
5


![[VIDEO] Buka pintu mengejut: Nahas babit enam kenderaan, dua cedera](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-5.57.13-PM-1.jpeg)








![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)





































