‘Ambil lagi gambar saya’

1 month ago 25

SEBERANG PERAI – Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen borang pendaftaran pekerja domestik, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Dr. Winnie Ong Beng Cheen, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Berdasarkan pertuduhan, ibu tunggal kepada empat anak itu didakwa memperdaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mempercayai bahawa borang pendaftaran pekerja domestik yang ditandatangani oleh Cheah Chyuan Yong adalah benar.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendorong Perkeso untuk mendaftar pekerja domestik warga Indonesia, Nurhayati Hasan menyebabkan Cheah Chyuan Yong diperdaya untuk membuat caruman sebanyak rm20.60 sebulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di No. 22A, Jalan Mesra, Taman Saujana Permai, Bukit Mertajam, 21 November 2022.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam, Chiang Kian Hong.

Ketika prosiding, Nor Shakila memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, dalam rayuan mitigasinya, Kian Hong memohon agar mahkamah menetapkan jaminan minima selain tidak menerima syarat tambahan yang ditawarkan pihak pendakwaan.

“Anak guam saya berusia 44 tahun dan merupakan ibu tunggal selain mempunyai empat orang anak berusia lingkungan 10 hingga 17 tahun.

“Tertuduh hadir ke mahkamah seperti yang ditetapkan dan tidak ada niat untuk melarikan diri,” katanya.

Nurul Rasyidah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula ditetapkan pada 4 September depan.

Terdahulu, tertuduh turut menarik perhatian petugas media apabila menunjukkan tanda ‘peace’ ke arah kamera media sambil berkata “ambil lagi gambar saya,” ketika tiba di pekarangan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |