Akauntan GISBH jadi individu pertama dibenarkan ikat jamin

3 weeks ago 17

SHAH ALAM – Seorang akauntan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) menjadi individu pertama dibebaskan sementara dengan jaminan selepas ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar memutuskan demikian terhadap Hamimah Yakub, 73, selaku pemohon selepas membaca notis permohonan, afidavit dan meneliti hujahan bertulis dan lisan selain pendakwa Raya sebagai responden yang tidak membantah permohonan daripada Hamimah.

Katanya, pemohon seorang wanita yang tergolong dibawah kategori pengecualian yang termaktub Seksyen 13 (2) (b) Akta Sosma.

Malah, tiada keterangan dalam afidavit jawapan responden yang menunjukkan pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri atau mengganggu saksi-saksi sekiranya dibebaskan atas jaminan itu.

“Mahkamah juga mengambil kira umur pemohon yang kini berusia 73 tahun dan ada mengemukakan bukti-bukti untuk menyokong masalah kesihatan dihadapinya.

“Maka mahkamah membenarkan permohonan jamin dengan bersyarat,” katanya.

Antara syarat diperintahkan mahkamah adalah jaminan RM40, 000 dengan dua penjamin, melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sekali setiap dua minggu sehingga perbicaraan selesai.

“Pemohon wajib menghadiri ke mahkamah pada setiap tarikh ditetapkan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Selain itu, pemohon tidak membenarkan mengacau ganggu mana-mana saksi. Sekiranya sakit, penjamin kena hadir mengemukakan sijil sakit dari hospital dan klinik kerajaan.

“Sekiranya gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan itu, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap, wang jaminan boleh dirampas atau dinaikkan dan dibatalkan serta boleh dipenjarakan sehingga kes selesai,” tegasnya.

Hamimah sebelum ini antara 23 yang ditahan dibawah Akta SOSMA dan telah dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang kumpulan GISBH di sebuah lokasi di Bandar Country Homes, Rawang pada Oktober 2020 hingga 11 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun.

Terdahulu, pada prosiding itu Peguam Kamal Hisham Jaafar menegaskan, permohonan jaminan dibuat dibawa kuasa peruntukkan Seksyen 13 (2) (b) Akta SOSMA yang amat jelas menyatakan pihak pemohon masuk dalam salah satu kategori peruntukkan tersebut.

“Ini dibawah umur 18 tahun atau wanita atau sakit yang dahsyat, maka mahkamah boleh membuat pertimbangan untuk (pemohon) dibebaskan dengan jaminan.

“Permohonan kami dibuat secara spesifik mengikut seksyen tersebut bagi kategori wanita. Pemohon juga mempunyai masalah kesihatan dan menghidap penyakit seperti asma, diabetis, hipertensi dan enzema kronik.

“Keadaan penjara yang serba kekurangan dan tidak selesa dari segi kebersihan telah menyebabkan kesihatan pemohon semakin teruk. Tertuduh telah berada dalam tahanan reman di Penjara Wanita Kajang sejak 20 September tahun lalu iaitu lebih kurang empat bulan,” katanya.

Pemohon turut diwakili Peguam Muhammad Nor Tamrin menyatakan niat Parlimen memasukkan wanita dalam akta tersebut menunjukkan semangat Parlimen dalam mengangkat wanita sebagai istimewa.

“Ditambah keadaan pemohon yang merupakan warga emas dan sejarah penyakit serta tiada risiko melarikan diri,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun berkata, pihak pendakwaan tiada bantahan dalam permohonan jaminan itu namun mohon syarat-syarat diberikan sebelum jaminan diberikan termasuk ikat jamin sebanyak RM30, 000. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |