PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan matlamat utama kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) bukanlah untuk menggantikan manusia, sebaliknya memperkasa kreativiti, memperkukuh komuniti dan memperkayakan semangat insani.
Menerusi satu hantaran di laman media sosialnya, ,beliau berkata, dunia tidak seharusnya dibiarkan ditentukan oleh mesin kerana masa depan yang diinginkan adalah yang menjadikan AI sebagai alat untuk meningkatkan nilai kemanusiaan.
“Matlamat kita bukanlah dunia di mana mesin menentukan takdir kita, tetapi masa depan di mana AI mempertingkat kreativiti manusia serta memperkayakan semangat insani,” ujarnya.
Anwar berkata, persoalan utama kini bukan lagi sama ada AI perlu digunakan atau tidak, sebaliknya bagaimana teknologi itu boleh dimanfaatkan tanpa menenggelamkan nilai moral dan kemanusiaan.
“AI bukan lagi persoalan ‘perlu atau tidak’. Yang penting ialah memastikan ia berkhidmat kepada manusia tanpa mengorbankan prinsip moral dan nilai kemanusiaan,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan teknologi tidak boleh dicapai dengan mengorbankan alam sekitar mahupun kompas moral masyarakat.
Katanya, pertumbuhan pusat data dan ekonomi digital perlu seiring dengan agenda hijau bagi memastikan tanggungjawab terhadap generasi akan datang terus terpelihara.
Malaysia, jelasnya, menyokong penuh penggunaan AI beretika bagi memperkukuh ilmu, mempercepat inovasi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.
“Matlamat akhir kita ialah menjadikan AI sebagai pemangkin kepada kreativiti manusia dan alat untuk mempererat komuniti,” ujarnya.
Ucapan Anwar itu disampaikan dalam sesi bertemakan “Preparing a Future-Ready Asia Pacific” yang menghimpunkan para pemimpin ekonomi rantau Asia Pasifik untuk membincangkan hala tuju pembangunan masa depan.-KOSMO! ONLINE.

5 hours ago
4












![[VIDEO] ‘Macam mana jari kau boleh masuk situ kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-01-at-5.04.16-PM.jpeg)




































