AI bantu tarik minat generasi muda terhadap seni kaligrafi

1 day ago 7

GEORGE TOWN – Kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara terus komited memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), platform digital dan media kreatif dalam usaha memperkenalkan seni kaligrafi kepada generasi muda.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, seni kaligrafi mempunyai nilai tinggi dalam sejarah peradaban manusia sama ada seni khat Jawi, kaligrafi Cina, Tamil mahupun pelbagai bentuk tulisan tradisional.

Menurutnya, walaupun dunia kini berkembang pesat dengan kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan, seni kaligrafi tetap mempunyai nilai yang tidak boleh diganti.

“Justeru, seni kaligrafi harus terus dipelihara, dimartabatkan dan diangkat sebagai warisan budaya yang hidup, agar tidak tenggelam dalam arus digitalisasi yang serba pantas.

“Kita perlu memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), platform digital dan media kreatif untuk memperluas serta memperkenalkan seni kaligrafi kepada generasi muda.

“Pendigitalan karya, pameran virtual, aplikasi pembelajaran kaligrafi serta kolaborasi antara artis dan teknologi boleh menjadi langkah ke hadapan dalam memastikan seni ini
kekal relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang Dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC) di sini, malam ini. Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pesta Buku ASEAN itu sememangnya bertepatan sebagai platform memperluaskan akses masyarakat kepada bahan bacaan berkualiti, serta merancakkan industri buku tempatan.

“Industri buku negara terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila jumlah pendaftaran International Standard Book Number (ISBN) dan International Standard Serial Number (ISSN) kekal tinggi,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |