Ada hadis boleh panah, tembak haiwan korban mengganas

36 minutes ago 2

GEORGE TOWN – Hukum harus sekiranya seorang Muslim bertindak melepaskan tembakan atau panahan terhadap haiwan korban yang mengamuk sehingga mengancam nyawa manusia.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, seseorang itu boleh menumbangkan haiwan korban dalam keadaan tertentu sebagai langkah darurat.

Menurutnya, dalam keadaan darurat, haiwan korban tersebut boleh dilukakan atau dimatikan dengan senjata yang bersesuaian seperti anak panah, lembing, tombak atau senjata api yang digunakan oleh pihak berkuasa dan pihak yang berkemahiran.

“Hal ini berdasarkan sebuah hadis sahih yang menceritakan bahawa seorang sahabat pernah memanah seekor unta yang terlepas dan lari sehingga tidak dapat dikawal. Rasulullah SAW membenarkan tindakan tersebut.

“Sabda Rasulullah SAW, di kalangan binatang ini terdapat juga yang liar, sebagaimana binatang yang lain. Justeru, kepada binatang yang bertindak demikian, lakukanlah sebagaimana binatang liar yang lain,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, para ulama menjadikan hadis tersebut sebagai dalil sekiranya haiwan ternakan tidak lagi dapat dikawal, maka hukumnya seperti binatang buruan.

“Berdasarkan prinsip tersebut, sekiranya haiwan korban seperti lembu, kerbau, kambing atau unta mengamuk, melarikan diri sehingga tidak dapat ditangkap, membahayakan nyawa manusia atau berada di tempat yang menyukarkan penyembelihan biasa dilakukan, maka harus menggunakan kaedah lain untuk menumbangkannya.

“Hukum asal bagi haiwan ternakan yang dapat dikawal ialah mesti disembelih pada bahagian leher mengikut syarak. Tidak harus menembak atau memanah haiwan yang masih boleh ditangkap dan disembelih secara biasa.

“Jika dilakukan tanpa keperluan, sembelihan itu tidak sah dan haiwan tersebut dianggap bangkai,” ujarnya.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi memastikan haiwan yang ditembak dalam keadaan darurat itu halal dimakan.

“Antaranya, orang yang melepaskan tembakan atau panahan mestilah seorang Muslim, menyebut nama Allah ketika melakukannya, dan haiwan tersebut mati disebabkan luka daripada senjata yang digunakan.” katanya.

Tambah beliau, haiwan berkenaan tetap halal dimakan dan ibadah korban juga adalah sah sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan itu dipenuhi.

Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan tindakan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah melepaskan tembakan ke arah seekor lembu korban yang sedang mengamuk pada Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis di Dataran Lok 9, Perlis, semalam. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |