‘Abah meninggal depan Kaabah, tengah buat tawaf wada’

14 hours ago 10

PETALING JAYA – Seorang jemaah haji Malaysia yang juga pesara guru meninggal dunia semasa sedang melakukan tawaf wada atau tawaf selamat tinggal di hadapan Kaabah, Mekah semalam.

Khabar itu dimaklumkan oleh anaknya, Nawal Huda yang memuat naik pemergian bapanya, Allahyarham Hamdan Ahmad menerusi Thread.

“Abah saya meninggal hari ni (semalam) depan Kaabah di Mekah masa tengah buat tawaf wada. Allahuakbar, tak terucap. Dia pergi menunaikan haji bersama ibu. Ya Allah, doakan Hamdan bin Ahmad, dia seorang guru terbaik kepada semua,” katanya pada hantaran itu semalam.

Nawal turut meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat memeluk bapanya untuk kali terakhir.

“Abahku, sedih bila tak dapat peluk buat kali terakhir. Jumpa nanti abah. Alhamdulillah, semoga abah bersama para syuhada dan masuk syurga tanpa hisab. Jazakumullah khair, semua atas doa buat abah. Abah untuk ramai anak muridnya, menyentuh banyak hati. Terharu keluarga kami baca,” katanya.

Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas yang rata-ratanya mendoakan Allahyarham Hamdan selain terdapat rakan dan anak murid lelaki itu meninggalkan komen.

“Saya sebilik dengan Abang Hamdan selama 40 hari dekat Mekah, sebelah katil. Saya sangat terkesan dengan pemergian arwah. Saya bersaksi arwah orang yang sangat baik. Pagi-pagi gerak kami subuh. Tengah-tengah saya tidur, arwah bangun tahajud. Arwah batuk teruk, saya turun ke klinik ambilkan ubat batuk dan suruh arwah ke klinik. Banyak lagi kenangan kami 40 hari,” komen pengguna Thread Mohd. Fikri Azri.

“Sebilik dengan Cikgu Hamdan selama 40 hari, banyak ilmu diturunkan. Banyak kali ayah tertidur sambil dengar ceramah agama. Tahajud setiap malam pukul 3 pagi tanpa tinggal. “Saya pergi dulu”, pukul 2.05 pagi tadi (semalam), itulah kata terakhir beliau bercakap kepada saya.

“Semua orang tak sangka beliau pergi Mataf. Arwah banyak kali kejut kami semua subuh, seperti seorang ayah. Tolong kemas beg dan katil buat kali terakhir. Masih bergenang air mata. Husnul Khatimah Cikgu Hamdan,” komen Cikgukereta.

“Meninggal di Mekah dalam tawaf dalam wuduk, depan Kaabah selesai haji. Husnul khatimah yang semua kita dambakan. Sesungguhnya abah awak insan yang Dia pilih, berbahagialah,” komen Mustashireen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |