PEMAKAIAN abah-abah keselamatan seluruh badan atau full body harness (FBH) merupakan prosedur operasi standard (SOP) wajib untuk semua pekerjaan di tempat tinggi di Malaysia.
Biarpun FBH sudah dipakai, namun kecederaan parah atau kematian boleh berlaku sekiranya pekerja tergantung terlalu lama di tempat tinggi.
Insiden berkenaan boleh berlaku apabila tali FBH pada bahagian paha mula mengetat akibat menampung tekanan berat badan, sekali gus menghalang pengaliran darah ke anggota badan.
Menyedari situasi itu, sekumpulan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, Johor tampil dengan solusi yang dipanggil ResQ Harness Evo.
Seramai enam orang pensyarah yang diketuai oleh Prof. Madya Ts Dr. Muhammad Fikri Hasmori telah membangunkan ResQ Harness Evo bagi mengelak pekerja mengalami sesak nafas atau keletihan sehingga mengakibatkan kematian kerana tergantung di tempat tinggi terlalu lama akibat penggunaan FBH.
Menurut Muhammad Fikri, apabila menggunakan FBH, pekerja akan tergantung dengan tali di belakang dan pada bahagian kelangkang.
Jadi, penggunaan tali FBH mengakibatkan pekerja tidak boleh menyelamatkan diri kecuali jika ada orang lain di sekeliling mereka.
“Walaupun memakai FBH, namun di celah kelangkang kaki kita ada dua arteri darah. Apabila saluran darah ini tersekat, maka oksigen juga sukar diterima oleh badan, sekali gus membuatkan pekerja sukar bernafas.
“Sekiranya lebih 10 minit pekerja mengalami pengumpulan darah pada kaki (venous pooling), ia boleh mengancam nyawa dan otak mereka boleh shut down,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.
Jadi, ResQ Harness Evo dibangunkan bagi memberi fokus kepada perlindungan terjatuh dari tempat tinggi dan usaha penyelamatan diri.
Malah, ia merupakan abah-abah keselamatan badan penuh yang direka khas untuk golongan bekerja di tempat tinggi, khususnya di sektor pembinaan.
INOVASI ResQ Harness Evo dinobatkan sebagai pemenang Anugerah JIPA bagi kategori Rekaan Terbaik Dalam Reka Bentuk.Inovasi abah-abah ResQ Harness Evo telah menetapkan standard baharu dalam industri keselamatan dengan memperkenalkan teknologi menyelamat diri yang revolusioner.
Apabila seseorang bekerja di tempat tinggi, ia melibatkan risiko keselamatan yang besar terutama apabila mereka terjatuh dan perlu berada di kedudukan tergantung dalam tempoh lama.
Biasanya, pasukan penyelamat akan mengambil masa agak lama untuk tiba di kawasan kejadian kerana mungkin pekerja berada di menara telekomunikasi, tapak pembinaan yang tinggi atau pelantar minyak di luar pesisir.
“Jadi dengan penggunaan ResQ Harness Evo, pekerja boleh menyelamat diri sendiri sekiranya terjatuh dari tempat tinggi.
“Ia sama sekali berbeza dengan penggunaan FBH konvensional. Mereka perlu menunggu pasukan penyelamat untuk datang menyelamat di tempat tinggi,” ujarnya.
Untuk makluman, ResQ Harness Evo mengintegrasikan sistem pemanjatan pantas terbina pada harness yang membolehkan mangsa memanjat ke arah tali keselamatan di bahagian atas, sebelum bergerak ke kawasan selamat.
Inovasi itu dapat mengurangkan masa mangsa tergantung, meningkatkan keyakinan pekerja dan menambah peluang mangsa untuk hidup,” katanya.
BEGINILAH rupa inovasi ResQ Harness Evo yang dibangunkan oleh pensyarahdi UTHM.
Difahamkan, FBH yang digunakan oleh pekerja ketika ini memiliki tali berkembar dengan keupayaan penyerapan tenaga.
FBH konvensional itu turut mendapat kelulusan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH Malaysia), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian (SIRIM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Berdasarkan data terkini yang diperoleh daripada DOSH, statistik kemalangan pekerjaan bagi 2023 menunjukkan bahawa 2,943 kemalangan yang dilaporkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 612 kes melibatkan kemalangan maut, manakala 2,331 kes lagi mangsa berjaya diselamatkan.
Menurut Muhammad Fikri, walaupun statistik khusus mengenai kemalangan akibat terjatuh dari tempat tinggi tidak dinyatakan secara terperinci dalam laporan tersebut, namun perlu diakui situasi itu merupakan salah satu penyebab utama kemalangan maut di tempat kerja.
bEG kuning ini menyimpan tali untuk kegunaan pekerja ketika kecemasan.Selain itu, kelewatan menyelamatkan mangsa boleh meningkatkan risiko kecederaan serius dan kematian kerana FBH sedia ada tidak menyediakan mekanisme penyelamat diri.
“Jadi, kami membangunkan ResQ Harness Evo dengan dilengkapi penyangkut kaki yang disimpan dalam poket kecil pada bahagian depan. Ia berfungsi untuk mengalihkan beban dari anchor switch point ke seluruh badan.
“ResQ Harness Evo juga memiliki picu yang dapat memindahkan anchor switch point dari belakang ke depan, sekali gus membuatkan pekerja seperti sedang berbaring di atas hammock sekiranya terjatuh.
“Mangsa hanya perlu memijak bahagian penyangkut kaki bagi membolehkan mereka berdiri atau berbaring kerana tekanan tidak lagi tertumpu pada paha sahaja.
“Ia berbeza dengan FBH yang sedia ada sekarang, di mana anchor switch point akan kekal berada di belakang.
“Sekiranya pekerja terjatuh, switch point akan menjadi medan tumpuan untuk menampung berat mangsa,” ujarnya.
Tidak terhenti di situ, ResQ Harness Evo juga mempunyai keupayaan membolehkan mangsa memanjat semula ke atas atau ke lokasi selamat.
Mekanisme yang digunakan menyerupai alat mekanikal aktiviti memanjat tembok (rock climbing). Alat cengkam tali pintar itu dapat membantu mangsa memanjat ke atas.
Menariknya, alat diperbuat dari logam itu memang direka untuk mencengkam tali dan membantu mangsa memanjat semula ke pelantar asal atau mengunci kedudukan badan dengan lebih selamat.
“Sementara menunggu untuk diselamatkan, mangsa boleh naik ke atas perlahan-lahan menyerupai aktiviti rock climbing dengan cara memanjat ke atas menggunakan mekanisme baharu kami.
“Inovasi ini tidak hanya dapat mengeluarkan penyangkut kaki dan mengubah kedudukan anchor switch point, malah memberi peluang kepada mangsa menyelamatkan diri mereka,” katanya.
Mangsa perlu memijak bahagian penyangkut kaki bagi membolehkan mereka berdiri atau berbaring apabila terjatuh.Sementara itu, mengulas tentang proses peralihan anchor switch point dari belakang ke depan, Muhammad Fikri memberitahu, perkara tersebut dapat direalisasikan hanya dengan menarik picu pada bahagian sisi.
Katanya, tali yang diletak pada bahu kanan pengguna bertindak sebagai ‘laluan’ untuk mengubah posisi klip menyimpan anchor switch point.
“Cara peralihan tidak terlalu rumit kerana tali dari belakang akan terus mengikut laluan di badan. Jadi, pemindahan anchor switch point dari belakang ke depan dapat dibuat dengan selamat dan lancar.
“Klip khas yang terdapat pada tali akan melalui laluan ditetapkan. Klip khas ini berfungsi dengan sangat mudah, apabila ia ditarik akan terus terbuka,” katanya.
Biarpun masih dalam fasa prototaip, namun Muhammad Fikri tidak menafikan pihaknya sedang berusaha untuk memasarkan produk tersebut secara komersial sekitar pertengahan tahun depan.
Katanya, ResQ Harness Evo kini melalui proses ujian makmal untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak SIRIM setelah mengujinya di lapangan.
“Kami telah berjaya menyelesaikan fasa kajian dan pembangunan.
“Jadi sekarang, kami di peringkat ujian prototaip dan bersedia untuk mendapat pengesahan daripada pihak profesional.
“Respons daripada pemain industri turut menjadi pembakar semangat untuk kami menyegerakan pelancaran produk ini dan digunakan secara menyeluruh sama ada dalam sektor pembinaan, pembuatan atau di kilang,” katanya.
Inovasi yang dibangunkan sekitar 2021 itu turut menarik perhatian ramai apabila berjaya menyertai program televisyen tempatan, Innovathon musim ketiga yang bersiaran di saluran Astro Ria dan TV1 sekitar Disember tahun lalu.
Meskipun gagal meraih kemenangan dalam rancangan tersebut, namun ResQ Harness Evo berjaya mendapat Pingat Emas di pameran inovasi antarabangsa, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Produk itu turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Japan Intellectual Property Association (JIPA) bagi kategori Rekaan Terbaik Dalam Reka Bentuk kerana memiliki sistem FBH yang kreatif serta praktikal untuk kegunaan global.

14 hours ago
9







































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








