9 lelaki ditahan susulan pergaduhan di kedai snuker

1 hour ago 4

BETONG – Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di sebuah premis kedai snuker di Pasar Debak yang videonya tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 11.56 pagi, semalam.

Menurutnya, susulan laporan diterima, polis menjalankan operasi dan berjaya menahan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun di beberapa lokasi sekitar Pusa dan Debak.

“Kesemua suspek berjaya dikesan dan ditangkap antara pukul 2.30 petang hingga 4 petang pada hari yang sama.

“Mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan pula mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis ketamin, manakala selebihnya negatif.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan kecil antara dua suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol dan saling mengenali antara satu sama lain.

“Pergaduhan itu kemudiannya menyebabkan beberapa rakan mereka turut bertindak agresif,” ujarnya.

Wan Mohamad Ali berkata, orang awam yang berada di lokasi ketika kejadian hanya bertindak meleraikan pergaduhan tersebut.

“Tiada pihak mengalami kecederaan serius dan siasatan setakat ini mendapati kejadian tersebut tidak mempunyai unsur gangsterisme,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan serta mengganggu ketenteraman awam, khususnya dalam kalangan masyarakat di daerah Betong. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |