SEJAK zaman berzaman, pelabuhan memainkan peranan penting dalam rantaian kehidupan manusia seperti pusat pengangkutan dan perdagangan antarabangsa, pemindahan dan penyimpanan barang, pengangkutan penumpang dan pelancongan, menghubungkan negara dan benua serta banyak lagi.
Oleh itu, di serata dunia, pelabuhan menjadi pusat aktiviti penting yang bukan sahaja menghubungkan negara melalui pengangkutan air tetapi juga simbol kemajuan hidup hari ini.
Minggu ini CitaRasa kongsikan lima pelabuhan paling sibuk di dunia yang menjadi pusat penting pelbagai negara seperti dilapor Ship Technology.
1) Pelabuhan Shanghai: 49 juta TEU
Pelabuhan Shanghai, China merupakan pelabuhan paling sibuk di dunia dari segi muatan kargo. Pelabuhan di muara Sungai Yangtze itu meliputi kawasan seluas 3,619 kilometer persegi (km).
Pelabuhan ini terdiri daripada 125 dermaga dengan jumlah panjang dermaga kira-kira 20 kilometer (km). Ia melayani lebih 2,000 kapal kontena setiap bulan dan menyumbang satu per empat daripada jumlah perdagangan asing China.
Terminal kontena meliputi lebih 13km panjang dermaga, 43 dermaga, dan 156 kren dermaga. Isipadu kontena di pelabuhan Shanghai melebihi 49 juta TEU (Twenty-foot Equivalent Unit) pada 2023.
2) Pelabuhan Singapura: 39.01 juta TEU
PELABUHAN Singapura menawarkan sambungan ke lebih 600 pelabuhan di 123 negara.
Menjadi hab maritim yang penting dalam sejarah, pelabuhan itu menjalani projek yang menelan kos AS$2.61 bilion (RM10.21 bilion) di terminal Pasir Panjang untuk menambah 15 dermaga kapal kontena mega yang telah siap pada Jun 2015.
Pelabuhan tersebut juga kini sedang membina terminal kontena generasi akan datang. Pelabuhan Singapura mengendalikan rekod 39.01 juta TEU.
Pelabuhan Ningbo-Zhoushan.3) Pelabuhan Ningbo-Zhoushan: 35.3 juta TEU
SETERUSNYA, di tempat ketiga ialah Pelabuhan Ningbo-Zhoushan terletak di tenggara Teluk Hangzhou, China. Ningbo-Zhoushan terdiri daripada Pelabuhan Laut Beilun, Pelabuhan Muara Zhenhai, Pelabuhan Ningbo Lama Sungai Dalaman serta Pelabuhan Chuanshan di kawasan Pelabuhan Daixe.
Kompleks pelabuhan ini adalah pelabuhan moden dengan jumlah 191 dermaga termasuk 39 dermaga air dalam dengan berat lebih 10,000 tan.
Daya pemprosesan kontena Pelabuhan Ningbo-Zhoushan berjumlah lebih 35.3 juta TEU.
4) Pelabuhan Shenzhen: 26.89 juta TEU
DI tangga keempat ialah Pelabuhan Shenzhen yang terletak di Guangdong, China Selatan. Pelabuhan itu adalah nama kolektif untuk sekumpulan pelabuhan sepanjang 260 kilometer garis pantai di selatan Delta Sungai Mutiara.
Pelabuhan ini dibahagikan kepada pelabuhan Timur dan Barat oleh Semenanjung Kowloon dan menempatkan lima terminal Kontena utama.
Terdapat lebih 100 pengendali gudang, 80 syarikat yang menyediakan perkhidmatan maritim dan lebih 2,000 syarikat pengangkutan di pelabuhan tersebut.
Kira-kira 40 syarikat perkapalan beribu pejabat di Pelabuhan Shenzhen, yang mana kira-kira 130 laluan kontena antarabangsa telah dilancarkan. Ia mengendalikan 26.89 juta TEU pada 2023.
5) Pelabuhan Qingdao: 26.39 juta TEU
Terletak di Laut Kuning, Pelabuhan Qingdao, China merupakan pelabuhan laut automatik yang menggunakan pelbagai sistem canggih termasuk Kren Dermaga Automatik,
Kenderaan Berpandu Automatik dan Gantry Rel Automatik.
Pelabuhan ini disambungkan ke lebih 450 pelabuhan di lebih 130 negara dan wilayah di seluruh dunia. Ia mencatatkan 26.39 juta TEU.

22 hours ago
3



![[VIDEO] Buka pintu mengejut: Nahas babit enam kenderaan, dua cedera](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-5.57.13-PM-1.jpeg)








![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)




































